Berita

Naib Presiden PLBNS Baharin Mohamed Meninggal Dunia Pada Usia 70 Tahun

91views

SEREMBAN, 11 Jun  — Naib Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PLBNS) Datuk Baharin Mohamed, 70, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) pada 2 petang tadi.

Timbalan Presiden PLBNS Yunus Ibrahim berkata Allahyarham, yang disahkan positif COVID-19 pada 2 Jun, telah dimasukkan ke HTJ sembilan hari lepas setelah mengadu mengalami sesak nafas.

Beliau berkata pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat sukan berbasikal di Negeri Sembilan.

“Beliau seorang yang baik dan suka membantu selain banyak jasanya dalam persatuan. Kami menganggap ia satu kehilangan permata yang berharga,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jenazah Allahyarham, yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Rasah, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tuan Haji Said Seremban pada 6 petang mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Yunus berkata Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Normah Sentol dan dua anak.

“Isterinya juga disahkan positif COVID-19 dan sudah lapan hari berada di Hospital Tampin,” katanya.

— BERNAMA

Source link