info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

NATO Tidak Akan Keluarkan Tenteranya Dari Afghanistan

85views

BRUSSELS, 16 Feb — Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menegaskan ia tidak akan mengeluarkan tenteranya dari Afghanistan ‘sebelum tiba masanya’.

Ketua Setiausahanya, Jens Stoltenberg, berkata pihak gabungan itu berpegang kepada keputusan terbabit biarpun menteri-menteri pertahanan akan membincangkannya.

Menteri-menteri daripada 30 negara anggota NATO akan bertemu esok dan hari berikutnya untuk membincangkan perkara itu.

Ia susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, yang berikrar akan bekerjasama erat selepas ketegangan empat tahun di bawah era pentadbiran Donald Trump.

Agenda utama pertemuan secara maya itu akan menentukan nasib misi sokongan gabungan 9,600 askar bersekutu di Afghanistan selepas Trump melakukan perjanjian dengan Taliban untuk mengeluarkan tentera.

Kata Stoltenberg, penarikan itu kini di tangan Biden sama ada mahu bersetuju untuk kekal dengan keputusan yang menetapkan garis masa sehingga Mei itu atau mendapat tindak balas daripada pemberontak agama apabila kekal di situ.

“Tiada sekutu yang mahu berada di Afghanistan lebih lama daripada yang diperlukan, namun kami tidak akan pergi sebelum tiba masanya.

“Menteri-menteri akan terus menilai keadaan di situ dan memantau perkembangan dengan lebih dekat,” katanya pada satu sidang akhbar.

Pentadbiran Biden berkata mereka akan mengkaji perjanjian itu dan Pentagon pula menuduh Taliban tidak memenuhi janjinya termasuk mengurangkan serangan serta memutuskan hubungan dengan kumpulan seperti al-Qaeda.

Menteri-menteri pertahanan tidak dijangka melakukan pengumuman yang konkrit berhubung pertemuan itu.

Bagaimanapun, sekutu NATO mahu AS berbincang lebih rapat dengan mereka selepas diketepikan ketika Trump mengarahkan pengurangan sehingga lebih 25,000 tentera pada Januari lalu.

Keganasan Taliban pula meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan, sekali gus mengancam perbincangan aman dengan kerajaan Kabul.

Kumpulan itu juga memberi amaran kepada menteri-menteri Nato supaya tidak terus kekal di Afghanistan dan berperang.

“Taliban perlu mengurangkan keganasan, berbincang dengan niat yang baik dan meneruskan komitmen untuk menghentikan kerjasama dengan kumpulan pengganas.

“Niat kita adalah jelas, Afghanistan tidak seharusnya menjadi syurga pengganas untuk menyerang negara kita,” kata Stoltenberg lagi.

— AFP

Source Link