Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaNCVI beri gambaran awal tahap kerosakan kawasan pesisiran pantai negara

NCVI beri gambaran awal tahap kerosakan kawasan pesisiran pantai negara

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) — Indeks Kerapuhan Pantai Negara (NCVI) yang merupakan antara petunjuk penting dalam Rancangan Fizikal Zon Pesisiran Pantai Negara ke-2 (RPP-2) dapat memberikan gambaran awal tentang tahap kerapuhan atau kerosakan kawasan pesisiran pantai negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) PlanMalaysia Md Nazri Abdullah berkata melalui indeks berkenaan, pihak berkaitan boleh meneliti risiko bencana yang akan dialami negara pada masa depan selain membolehkan bentuk kawalan pembangunan dilaksanakan.

“Kalau dahulu, kita hanya fokus kepada skop kecil iaitu melihat kepada risiko banjir, hakisan pantai dan sebagainya tetapi kerana keadaan sekarang sudah berubah akibat pemanasan global dan paras air laut juga naik maka kita (PlanMalaysia) telah berbincang dan bersepakat dengan pihak berkepentingan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia untuk menambahkan indeks ini dalam RPP-2.

“Tujuannya untuk memberi maklumat asas tentang tahap kerapuhan (kerosakan) bagi kawasan-kawasan tertentu kerana kita menjalankan kajian ini (RPP-2) di peringkat yang agak besar, kita perlukan asas yang dapat berikan kita gambaran awal,” katanya dalam Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, di sini malam ini.

RPP-2 yang dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada 14 Jun lepas adalah dokumen panduan dalam merancang pembangunan di zon pesisiran pantai dalam mewujudkan Malaysia Berdaya Huni.

Dokumen itu diwujudkan sebagai langkah persediaan menghadapi fenomena perubahan iklim yang sedang berlaku di samping penjagaan serta pemuliharaan kawasan sensitif alam sekitar terutama di kawasan pesisiran pantai.

Md Nazri berkata NCVI itu diwujudkan selepas mengambil kira data yang menunjukkan bahawa hampir 24 peratus penduduk di Malaysia tinggal di kawasan pesisiran pantai.

“Jadi komitmen semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan negeri untuk sama-sama memberikan tindak balas terhadap perkara yang berlaku di sekeliling persekitaran mereka penting dalam mengetahui risiko kerapuhan di kawasan dihuni 24 peratus penduduk Malaysia,” katanya.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular