Nga beri penghormatan terakhir kepada mangsa tanah runtuh Batang Kali

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) — Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming hari ini memberi penghormatan terakhir kepada mangsa yang maut dalam tragedi tanah runtuh Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali.

Beliau turut meluangkan masa melawat keluarga mangsa tragedi itu selama 45 minit pada upacara penghormatan terakhir yang berlangsung bermula 10 pagi hingga 10.30 malam ini di Nirvana 2, di sini.

“Sejurus sidang Parlimen selesai, saya terus bergegas ke Nirvana 2 untuk melawat enam keluarga mangsa-mangsa yang terlibat dan merakamkan salam takziah kepada semua ahli keluarga mangsa… tanda keprihatinan kerajaan terhadap mereka.

“Saya juga menzahirkan bahawa kerajaan komited dan tidak akan berputus asa untuk mencari sembilan lagi yang masih hilang di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Nga juga menyampaikan salam takziah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada enam keluarga mangsa itu dan telah memaklumkan kepada mereka bahawa Perdana Menteri turut menzahirkan takziah sebagai tanda keprihatinan dalam sidang Parlimen hari ini.

Bencana tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi, Jumaat lepas meragut 24 nyawa manakala 61 terselamat dan sembilan daripada 94 mangsa terlibat masih hilang setakat ini.

BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button