info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

NGO disaran dapatkan bekalan daripada pemborong, pengilang

55views

IPOH, 6 Jun  — Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan pemberian sumbangan barangan keperluan kepada rakyat yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disaran supaya mendapatkan bekalan secara terus daripada pemborong atau pengilang.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Azman Adam berkata mereka dinasihatkan agar mengikut saluran yang betul untuk mendapatkan barangan terbabit bagi mengelakkan gangguan rantaian bekalan terutama sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

“…  kalau boleh jangan ganggu rantaian bekalan sedia ada, jangan ambil daripada kedai runcit yang kecil di kampung… pergi kepada saluran tertentu, mungkin boleh pergi kepada pemborong atau pengilang dan sebagainya untuk mengelakkan gangguan bekalan,” katanya pada sidang media selepas memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 – Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di beberapa pasar raya di sini hari ini.

Beliau juga berkata sebanyak 41 kompaun melibatkan nilai keseluruhan RM283,500 telah dikeluarkan ke atas syarikat serta individu yang gagal mematuhi SOP sektor perdagangan dan pengedaran sepanjang pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara setakat semalam,

Azman berkata bagi pematuhan SOP PKP dari Mei tahun lepas hingga semalam pula, sejumlah 227 kompaun telah dikeluarkan kepada mereka yang tidak mematuhi SOP ditetapkan daripada pemeriksaan ke atas 579,892 premis.

“Berdasarkan statistik tersebut, pematuhan dalam sektor perdagangan dan pengedaran boleh dikatakan berada pada tahap yang memuaskan.

“Hanya 0.10 peratus premis dikenakan kompaun manakala 1.36 peratus premis diberi nasihat serta amaran dan selebihnya iaitu 98.51 peratus premis patuh kepada SOP ditetapkan,” katanya.

— BERNAMA

Source link