Home Berita Operasi PPSN dilanjut hingga Sabtu bermula 4 Jun

Operasi PPSN dilanjut hingga Sabtu bermula 4 Jun

139
0

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) — Institut Sukan Negara (ISN) akan melanjutkan operasi harian Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN) hingga Sabtu setiap minggu bermula 4 Jun depan berikutan permintaan perkhidmatan menggalakkan di pusat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli berkata ia bagi memberi peluang kepada golongan pekerja dan pelajar menggunakan perkhidmatan PPSN tanpa mengganggu waktu bekerja dan persekolahan mereka.

“Objektif penubuhan PPSN sememangnya ingin menawarkan perkhidmatan perubatan sukan kepada orang awam selain kepada atlet negara.

“Jadi, apabila dapat maklum balas daripada orang ramai, kami berpandangan terdapat keperluan untuk kita melanjutkan operasi hingga hari Sabtu, pastinya pada hari bekerja masyarakat tak dapat nak datang,” katanya yang dihubungi Bernama sebagai mengulas langkah ISN melanjutkan operasi PPSN hingga hujung minggu.

Ahmad Faedzal berkata ISN pada masa sama turut merancang untuk melantik mana-mana perkhidmatan perubatan sukan sama ada daripada kerajaan atau swasta yang berminat untuk menjadi pusat satelit kepada ISN pada hujung tahun ini.

Beliau berkata lantikan pusat satelit ISN sebagai ejen yang menawarkan perkhidmatan serupa PPSN itu sebagai langkah menawarkan perkhidmatan kepada segenap masyarakat di seluruh negara.

“Pusat satelit ISN ini bukanlah cawangan kita tetapi ia sebagai pasangan kolaborasi PPSN.

“Ada proses yang perlu mereka (pusat satelit) lalui untuk dapat pengiktirafan itu, selepas itu pusat tersebut boleh memasarkan pusat mereka sebagai pusat satelit ISN yang meyakinkan masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan di tempat mereka,” katanya.

Menurutnya dengan cara itu, pihak ISN dapat meluaskan perkhidmatan perubatan sukan di seluruh negara tanpa memerlukan kos yang tinggi bagi membina PPSN baharu.

PPSN yang terletak di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil mula beroperasi sejak 1 Julai 2019 dengan menawarkan tujuh perkhidmatan utama seperti klinik pakar perubatan sukan, fisioterapi dan rehabilitasi, urutan sukan dan pemulihan serta rujukan dan kepakaran.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Previous articleYoon, Biden dijadual lawat pusat operasi tentera udara Korea Selatan
Next articleBekalan ayam kurang kerana tidak capai berat standard, peniaga di Perlis catu jualan
Sistem Automasi Berita