info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Operator fasiliti sukan di Sabah digesa patuhi pelaksanaan PKPB

68views

KUALA LUMPUR, 13 Okt  — Penggiat sukan dan rekreasi termasuk pemilik premis serta operator fasiliti sukan di Sabah, dinasihatkan mematuhi larangan melakukan sebarang aktiviti berkenaan di negeri itu, ketika ini.

Kementerian Belia dan Sukan dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan, larangan itu adalah selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, bermula hari ini hingga 26 Okt depan, bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Semalam Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan PKPB di Sabah dari 13 hingga 26 Okt, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) setelah mengambil kira peningkatan serta penularan kes di negeri itu.

Beliau turut memaklumkan, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Umas, Tawau, untuk tempoh yang sama.

PKPD di kawasan itu melibatkan 800 rumah dengan 17,549 penduduk, yang tidak dibenarkan keluar rumah dalam tempoh itu dan KKM akan melakukan saringan secara bersasar, kepada semua penduduk yang terlibat.

— BERNAMA

Source link