
OPR naik, takkan Menteri dan Kerajaan tak ada kuasa langsung ke atas BNM?
Respons Ketua Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang
KUALA LUMPUR, 5 Jan. – Di sebalik desas-desus Bank Negara Malaysia (BNM) berhasrat menaikkan sekali lagi kadar operasi semalaman (OPR) bagi mengawal inflasi, takkan lah Kerajaan Perpaduan hari ini terutama Menteri berkenaan tak ada kuasa langsung ke atas Bank Pusat berkaitan polisi monetari negara.
Dalam nada berseloroh Ketua Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd. Noor Ahmad melontarkan persoalan tersebut kepada portal Rakyat.my selepas selesai Majlis Ramah Mesra Ketua Penerangan Umno Malaysia Bersama Media Massa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada 5 Januari 2023.
Tegas beliau, kenaikan OPR akan mengakibatkan bank-bank perdagangan menaikkan kadar faedah atas pinjaman bank juga, sekali gus membebankan rata-rata rakyat dalam membayar balik pinjaman peribadi mereka.
“Apabila OPR naik, kadar bunga bank juga akan naik, semua sektor ekonomi rakyat akan terkesan; rakyat akan lihat Kerajaan Perpaduan hari ini sama sahaja dengan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
“Walaupun Kerajaan ada bagi bantuan RM100 atau RM150 kepada kelompok rakyat tertentu, ia masih tidak cukup untuk menyerap kesan (daripada kenaikan OPR).
“Sepatutnya Kerajaan dan Menteri kena kawal Bank Negara, bukan Bank Negara yang kawal mereka; dia (Kerajaan Persekutuan dan Menteri) adalah parti pemerintah, dia kena melihat kepentingan rakyat melebihi segala kepentingan lain,” jelasnya yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Kawan.
Semalam, beberapa portal berita arus perdana melaporkan Perdana Menteri Ke-10 Malaysia Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa BNM ada hak dan kuasa untuk menentukan OPR tanpa campur tangan kerajaan.

Seorang editor portal media arus perdana meminta Isham Jalil menyatakan pendapatnya berhubung polisi monetari tersebut memandangkan Umno kini adalah sekutu parti pemerintah Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar.
Dalam reaksi spontan, Isham berkata para pengamal media sewajarnya meminta Gabenor BNM merangkap salah seorang anggota Jawatankuasa Dasar Monerari menjelaskan kewajaran langkah menaikkan OPR bagi mengawal inflasi sungguhpun polisi monetari tersebut ternyata membebankan rata-rata rakyat.
“Saya tidak pernah menyalahkan Menteri sebab kuasa menentukan OPR ini adalah kuasa Gabenor Bank Negara.
“Jadi, sekarang saya nak Tuan-Puan (para pengamal media arus perdana) bertanya Gabenor Bank Negara (berhubung langkah menaikkan OPR bagi mengawal inflasi),” jelasnya dalam nada sederhana.
Untuk rekod, sejak bulan Mac 2022 Bank Pusat menaikkan empat kali OPR konon-konon demi mengawal inflasi.
~ Penerangan Umno Pulau Pinang