info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Orang Ramai Diminta Jangan Berurusan Dengan Pajak Gadai Online

93views

KUALA LUMPUR, 16 Feb — Individu yang terpaksa menggadaikan barangan berharga demi kelangsungan hidup dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini disaran menjauhi sebarang urusan pajak gadai secara dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Zainuddin Yaakob, berkata orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan hanya berurusan dengan pengusaha pajak gadai yang mempunyai kedai secara fizikal serta berlesen.

“Pelaksanaan PKP sejak Mac tahun lalu sedikit sebanyak memberikan impak daripada segi ekonomi dan pendapatan golongan tertentu dan demi kelangsungan hidup, sesetengah mereka terpaksa menggadaikan barangan berharga milik mereka.

“Kita melihat situasi ini mungkin akan mewujudkan kegiatan pajak gadai tidak berlesen atau penipuan pajak gadai untuk mengambil kesempatan ke atas mereka yang terdesak mendapatkan wang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, orang ramai yang mahu berurusan pajak gadai perlu memilih kedai pajak gadai yang dilesenkan dengan kerajaan.

“Jangan sekali-kali berurusan melalui medium dalam talian kerana aktiviti pajak gadai hendaklah dijalankan secara fizikal di premis perniagaan yang berdaftar.

“Walaupun setakat ini tiada lagi laporan polis diterima berkaitan kes penipuan sedemikian, namun kebarangkalian untuk kes-kes sebegitu berlaku adalah tidak mustahil,” tambahnya.

Katanya, masyarakat perlu sentiasa berjaga-jaga dan mengambil tahu prosedur dan undang-undang yang berkaitan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Source Link