P. Pinang tawar 150,000 Pas Mutiara tahun depan

GEORGE TOWN, 28 Dis (Bernama) — Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju meneruskan pembiayaan Pas Mutiara, yakni pas bagi kemudahan perjalanan tanpa had selama 30 hari menggunakan perkhidmatan bas Rapid Penang, dengan menawarkan 150,000 pas berkenaan membabitkan peruntukan berjumlah RM7.5 juta tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata kerajaan negeri telah menambah pembiayaan Pas Mutiara sebanyak 30,000 pas lagi untuk tahun hadapan berikutan bilangan penumpang (ridership) yang meningkat setiap bulan.

Beliau berkata pengguna Pas Mutiara itu dapat menggunakan perkhidmatan bas Rapid Penang secara percuma di seluruh negeri Pulau Pinang bagi semua laluan dan setiap masa.

“Ekoran sambutan yang memberangsangkan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bersetuju meneruskan lagi pembiayaan Pas Mutiara sebanyak 150,000 pas pada tahun hadapan iaitu meningkat sebanyak 30,000 pas berbanding 120,000 pas yang membabitkan peruntukan RM6 juta tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya penggunaan Pas Mutiara sememangnya semakin mendapat sambutan memberangsangkan di fasa peralihan ke endemik, dengan aktiviti ekonomi dan industri yang beroperasi sepenuhnya telah memberi impak positif dalam penggunaan pengangkutan awam.

Zairil berkata kerajaan negeri percaya bahawa pembiayaan subsidi ini mampu menjadi pemangkin bagi menarik lebih ramai penduduk Pulau Pinang beralih kepada pengangkutan awam sebagai cara pengangkutan pilihan berbanding kenderaan persendirian.

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button