Padanlah Shaik Hussein Mydin ‘marah sakan’ di Facebook…

Ekoran Wan Saiful Wan Jan menuduh ada usaha mengubah demografi negara menggunakan formula perumahan awam Singapura

APAPUN pendapat kita mengenai Singapura ‘keluar dari’ Malaysia pada 1965, sejarah lampau itu tidak boleh diubah lagi serta tidak patut menjadi batu penghalang untuk Malaysia bergerak secara progresif ke depan demi kepentingan rakyatnya yang berbilang kaum.

Ini lah sikap yang patut ada pada Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang baru-baru ini dilaporkan menuduh ada usaha mengubah demografi negara dengan menggunakan formula perumahan awam ala Singapura.

Memetik laporan berita berkaitan, Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkenaan antara lain dilaporkan berkata ketuanpunyaan hartanah dan rumah Melayu di bahagian Pulau, Pulau Pinang adalah sangat kecil, iaitu 1.16 peratus.

Menurutnya lagi, berdasarkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), mendedahkan kaum Cina menguasai 55 peratus pegangan hartanah sementara Melayu 27 peratus sahaja.

Wan Saiful barangkali menyemarak isu Housing Development Board (HDB) Singapura baru-baru ini kerana bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di Pulau Pinang kian dirasai.

Beliau mungkin mahu rakyat Malaysia berbilang kaum, terutama Melayu dan Cina di negeri Pulau Pinang saling prasangka dengan menajamkan isu HDB Singapura secara tanpa asas, supaya PPBM boleh mengambil kesempatan atas ketidakstabilan politik yang terjadi kelak.

HDB Singapura adalah projek perumahan awam yang syarikat berkaitan kerajaan milik Kerajaan Singapura sendiri bina.

Dalam satu-satu projek perumahan awam, HDB Singapura terlibat pada peringkat perancangan, pembinaan, penyelenggaraan, sewa beli sampailah runtuh dan bina semula rumah flat baharu mengikut rekabentuk semasa.

Kira-kira 80 peratus rakyat Singapura mendiami unit rumah awam yang HDB dan Kerajaan Singapura berjaya bina, sementara kurang 20 peratus sahaja mendiami unit kediaman swasta yang sudah tentu lebih mahal harganya.

Gambarannya di sini adalah sektor hartanah dan perumahan Singapura boleh dikatakan dimonopoli oleh Kerajaan Singapura melalui agensinya, HDB.

Di negara tersebut, jika seseorang warganegara tidak kira Melayu atau Cina atau India dll mahu membeli unit kediaman awam baharu yang lebih selesa daripada HDB, mereka wajib ‘melepaskan’ unit kediaman pertama mereka kepada HDB.

Transaksi hartanah berlaku yang melihatkan HDB Singapura ini, tanpa bergantung pada ‘pergerakan pasaran bebas’, sekali gus berjaya mengelak risiko gelembung hartanah.

Tidak seperti di Malaysia, transaksi hartanah sangat bergantung pada ‘pasaran’. Akibatnya, rumah kos rendah yang asalnya dibeli daripada Bahagian Perumahan Kerajaan pun dengan harga RM42,000 seunit, boleh melambung sampai hampir RM100,000 disebabkan transaksi hartanah secara spekulatif.

Moratorium pun tidak mampu membendung gelembung hartanah, kalau nilai hartanah bergantung pada pasaran secara spekulatif.

Di Singapura, HDB sangat mengawal ketat soal transaksi rumah awam yang dibuat mereka.

Bukan setakat itu sahaja, agensi kerajaan itu juga sangat ketat menguatkuasakan undang-undang ketenteraman penghuni bagi harta milik bersama.

Penghuni rumah awam HDB dilarang buat bising antara jam 10.30 malam hingga 7.00 pagi. Sistem kumpul sampah teratur, tidak boleh bawa keluar sampah di luar kawasan perumahan awam sewenang-wenangnya, dan paling penting adalah ada peraturan berkaitan demi menjaga ketenteraman awam yang tidak mengira agama dan bangsa.

Mengikut komposisi kaum, 77 peratus warganegara Singapura adalah Cina, Melayu 14 peratus, India 7.6 peratus dan lain-lain 1.4 peratus.

Kalau 80 peratus warganegara Singapura memilih tinggal di perumahan awam HDB, secara atas kertas sudah tentu lah Cina lebih ramai berbanding Melayu tinggal di rumah awam yang Kerajaannya berjaya buat.

Bayangkan kalau HDB Singapura ini diimplimentasikan oleh Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerajaan Persekutuan sendiri memonopoli sektor perumahan awam negara dengan membina lebih banyak rumah awam selesa untuk dibeli atau disewa oleh rakyat teramai.

Di Pulau Pinang, Bumiputera dan Melayu seramai 44.7 peratus, sementara Cina, India dan lain-lain masing-masing adalah seramai 44.9 peratus, 9.7 peratus dan 0.6 peratus.

Dengan demografi itu, kalau 80 peratus rakyat Pulau Pinang memilih untuk mendiami unit kediaman awan apa HDB Singapura sebagaimana di negara jiran tersebut, secara relatif sudah tentu ketuanpunyaan Melayu mendiami rumah awam selesa di negeri ini akan meningkat.

Kerajaan Persekutuan perlu ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ala HDB Singapura yang secara langsung terlibat dalam membekalkan rumah awam selesa untuk warganegara yang berbilang kaum.

Untuk rumah awam dengan luas lantai 1,000 kaki persegi, transaksi hartanah tanpa melalui ‘pasaran bebas’ (ala HDB Singapura) ditetapkan pada harga RM70,000 seunit, dengan tempoh sewa beli 30 tahun + 10 tahun, supaya kadar ansuran bulanan kian tidak membebankan rakyat.

Jadi, rakyat yang masih belum ada kediaman selesa serta tidak mampu membeli rumah dalam pasaran hartanah swasta sedia ada, masih ada pilihan untuk membeli dan mendiami rumah awam yang Kerajaan Persekutuan buat.

Secara kasar, ini yang seorang Ahli Parlimen baharu patut ketengahkan, bukan seperti Wan Saiful dilaporkan berkata sedemikian dan sedemikian secara tanpa asas.

Nak sebut HDB Singapura tak menguntungkan rakyat teramai di negara itu pun, perlu berasas.

Begitu juga kalau nak menyemarakkan politik kebencian antara rakyat Malaysia berbangsa Melayu dan Cina di Pulau Pinang dengan menajamkan isu HDB Singapura, Wan Saiful kena berpendapat secara rasional dan berasas.

Apabila bercakap secara tanpa asas, padan lah di Facebook Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Ir. Shaik Hussein Mydin ‘marah sakan’ Wan Saiful baru-baru ini.

Bagaimana buah takkan busuk,
Bila selalu diganggu kumbang,
Bagaimana BERSATU tak jadi buruk
Bila pemimpinnya menipu orang.

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button