Berita

Paderi Dan Biarawati Bunuh Rahib Dengan Kapak

92views

NEW DELHI, 23 Dis — Mahkamah India semalam mensabitkan seorang paderi dan biarawati kerana membunuh seorang rahib wanita menggunakan kapak 30 tahun lalu berikutan bimbang hubungan sulit mereka didedahkan.

Menyoroti siri terbaru rangkaian skandal seks di Gereja Roman Katolik di selatan Kerala, pendakwa raya berkata mereka akan menuntut hukuman berat terhadap Pastor Thomas Kottoor dan rahib, Sephy, ketika perbicaraan.

Pembunuhan itu berjaya dibongkar selepas penyiasat persekutuan dipanggil berikutan timbul keraguan terhadap dakwaan polis tempatan bahawa rahib Abhaya, ahli biara Pious X Convent di Kottayam, bertindak membunuh diri.

Mayat biarawati berusia 18 tahun itu ditemui dalam sebuah perigi di biara berkenaan pada 1992.

Pendakwa raya memberitahu Mahkamah Biro Siasatan Pusat (CBI) bahawa biarawati itu terbunuh selepas menemui rahib Sephy dengan Kottoor bersekedudukan di sebuah dapur di biara itu.

Takut hubungan mereka didedahkan, dua defendan terbabit membunuh Abhaya dengan kapak dan membuang mayatnya ke dalam perigi.

Mahkamah memutuskan Kottoor dan Sephy bersalah kerana membunuh, selepas tuduhan terhadap seorang paderi lain, Jose Poothrikkayil, digugurkan pada 2018 berikutan kekurangan bukti.

Gereja Katolik di Kerala terpalit beberapa skandal kebelakangan ini, termasuk dakwaan rogol, penderaan rahib dan paderi mencabul kanak-kanak selain gereja yang sama dituduh cuba mempengaruhi kes.

Tiga inkuiri mengenai kematian rahib Abhaya yang memberi alasan pencarian pembunuh wanita itu tidak menemui bukti secukupnya atau pembunuh gagal dikenal pasti ditolak mahkamah dan akhirnya, Kottoor dan Sephy diberkas pada 2008.

Seorang pendakwa raya CBI yang enggan dikenali memberitahu AFP bahawa keadilan yang sebelum ini tertangguh kini sudah terlaksana.

“Kami akan menuntut hukuman yang berat kerana ini adalah kes yang amat jarang berlaku,” katanya. – AFP

Source Link