info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Pakej Rangsangan Ekonomi 3.0 Bagi Rakyat Johor Diumum Minggu Depan – Hasni

68views

ISKANDAR PUTERI, 1 Jun – Kerajaan Negeri Johor akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 kepada rakyat khususnya golongan yang terjejas akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh pada minggu depan.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata pakej berkenaan akan memberi fokus kepada dua perkara iaitu pemerkasaan pengurusan pandemik di negeri ini dan juga pengukuhan bantuan keselamatan sosial kepada rakyat yang memerlukan.

“PRE Ihsan Johor 3.0 yang bakal diumumkan ini akan dilaksanakan segera supaya dapat sampai secepat mungkin kepada golongan sasar selain menggerakkan usaha pemulihan ekonomi negeri dengan lebih giat lagi.

“Pakej ini adalah pelengkap kepada inisiatif dan bantuan kerajaan pusat serta kesinambungan daripada PRE Ihsan Johor 1.0 dan PRE Ihsan Johor 2.0,“ katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Setakat 23 Mei tahun ini, PRE Ihsan Johor 1.0 telah memanfaatkan seramai 295,464 penerima melibatkan RM167.33 juta manakala PRE Ihsan Johor 2.0 telah memanfaatkan seramai 387,674 penerima dengan jumlah RM109.48 juta.

Hasni yang menyambut baik dan mengalu-alukan semua inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Tambahan) berkata kesemua inisiatif yang diumumkan itu dilihat mampu mencapai matlamatnya dalam usaha mempertingkat kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

“Saya amat berterima kasih atas pelbagai usaha dan bantuan yang diberikan kepada semua lapisan masyarakat, khususnya golongan terjejas akibat pelaksanaan sekatan penuh yang masih membelenggu kehidupan umat manusia di seluruh dunia.

“Peruntukan yang besar diberikan dalam mempertingkatkan sektor kesihatan dan bantuan kepada rakyat merupakan usaha yang amat penting dan perlu disegerakan dalam memastikan langkah mendepani pandemik COVID-19 mampu mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan usaha itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai matlamatnya, semua pihak yang terlibat diseru memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

BERNAMA