info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

PAKEJ Tingkatkan Mutu Pos, Kurier Bakal Beri Perkhidmatan Kelas Pertama Kepada Pengguna

89views

KUALA LUMPUR, 3 Jun — Pelaksanaan pelan tindakan Pelan Accelerator Kurier Negara atau PAKEJ bakal menyaksikan lebih banyak Pusat Pungutan dan Serahan (PUDO) bebas dalam usaha mempertingkat perkhidmatan pos dan kurier sekali gus mewujudkan perkhidmatan kelas pertama kepada pengguna Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata pelan tindakan itu juga melibatkan perkongsian aset antara syarikat kurier, rombakan syarat lesen operasi, kenderaan penghantaran yang lebih ekonomi, pemakluman dan pematuhan kepada piagam tempoh penghantaran serta penawaran insurans dan mengadakan perkhidmatan premium.

“Bagi memastikan semua pelan tindakan ini dapat dirancang dan dilaksanakan dengan berkesan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil langkah awal dengan membekukan pengeluaran lesen kurier baharu selama dua tahun sejak 14 Sept 2020,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi tempoh penghujung 2019 hingga 2020, MCMC telah mengesan penurunan ketara kualiti perkhidmatan kurier dengan sebahagian besar aduan pengguna yang diterima iaitu sebanyak 86 peratus melibatkan layanan buruk, kelewatan penghantaran dan kehilangan barang.

“Purata tempoh penghantaran meningkat daripada 2.1 hari kepada 4.6 hari dan tambah mengejutkan, kadar keuntungan syarikat kurier telah merosot walaupun penghantaran bertambah. Keadaan ini menunjukkan perkembangan yang tidak sihat dan memerlukan satu anjakan menyeluruh.

“Industri yang kurang sihat tidak dapat melabur terutama dalam usaha pendigitalan bagi mempertingkat kualiti perkhidmatan kepada pengguna,” katanya.

Saifuddin berkata pada penghujung 2020, Makmal Industri Pos dan Kurier Negara (NPCIL) telah dianjurkan selama tiga minggu bersama pihak industri dan agensi kerajaan berkaitan yang dipelopori Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta MCMC.

“Ia diadakan bertujuan mempertingkat perkhidmatan pos dan kurier untuk mewujudkan perkhidmatan kelas pertama kepada pengguna Malaysia. Pelan tindakan NPCIL amat penting bagi pelaksanaan pelan pembangunan Ekonomi Digital dan pelan ini adalah berdasarkan kepada pencapaian empat matlamat yang diringkaskan sebagai 4R iaitu Reliability (Boleh Percaya), Reach (Liputan), Relevance (Relevan) dan Resilient (Daya Tahan).

“Matlamat 4R ini seterusnya akan menyumbang kepada aspirasi nasional industri kurier iaitu menyediakan perkhidmatan kelas pertama kepada pengguna, memperkemas integrasi sistem penyampaian hiliran dan memberikan pengalaman pengguna yang memuaskan,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan langkah pengukuhan industri kurier seperti yang disebutkan akan dipantau dengan rapi dan teliti oleh pihak KKMM serta MCMC dan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Saya yakin Pelan PAKEJ ini akan dapat menghasilkan hala tuju yang berkesan ke arah memantapkan industri kurier demi faedah setiap pengguna di mana jua dan menjadi teras penting dalam perancangan pembangunan masa hadapan.

“Saya akan terus memberi perhatian kepada agenda ini dan memastikan kepentingan semua pihak terutama rakyat akan terpelihara,” katanya.

— BERNAMA

Source link