Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaPameran LIMA kembali Mei depan

Pameran LIMA kembali Mei depan

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) — Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LlMA) akan dianjurkan pada 23 Mei hingga 27 Mei tahun depan di Pulau Langkawi, Kedah selepas penganjurannya pada 2021 terpaksa dibatalkan susulan penularan COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata LIMA ‘23 diadakan susulan kejayaan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 pada Mac lepas serta kebersediaan Malaysia selepas memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 600 pempamer dari 20 negara akan menyertai LIMA ’23 selain dijangka menerima 45,000 pelawat perdagangan dan 380 tetamu luar negara.

Menurutnya, pameran LIMA ‘23 akan melibatkan aset udara dan aset maritim masing-masing 110 aset.

“Jumlah pempamer, negara yang terlibat, pelawat perdagangan dan awam, tetamu serta aset dijangka meningkat seterusnya menjadikan penyertaan terbesar pernah direkodkan,’’ katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Pameran LIMA ‘23 di Auditorium Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular