Berita

Pandu Lawan Arus: Pemandu Direman Tiga Hari

46views

SEREMBAN, 5 Nov — Pemandu kenderaan Perodua Alza yang memandu secara melawan arus dalam kejadian Isnin lepas di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Senawang, direman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata pemandu wanita berusia 24 tahun itu ditahan selepas tampil bersama seorang rakan wanita yang turut menaiki kenderaan itu pada hari kejadian untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, pada 5  petang, Selasa (3 Nov).

“Hasil siasatan mendapati pemandu dan penumpang yang berusia 30 tahun itu datang dari arah Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur dan setelah tiba di kawasan Hentian Rehat dan Rawat Senawang, pemandu telah terputus hubungan dengan seorang lagi rakannya yang menunggang motosikal, yang bergerak bersama mereka.

“Pemandu itu kemudian bertindak membuat pusingan U di lebuhraya itu serta memandu di lorong kecemasan sehingga ke susur tol Pedas-Linggi arah utara untuk mencari rakannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua mereka mendapati mereka negatif dadah dan penumpang kenderaan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Isnin lepas, video berdurasi 36 saat yang memaparkan kenderaan berkenaan dipandu secara melawan arus di lebuh raya berkenaan telah tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen.

— BERNAMA

Source link