Berita

Parlo Jangka Hasil Lumayan Melalui Pengurusan Pekerja Asing

91views

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 23 Okt  — Pengembangan Parlo Bhd ke dalam perkhidmatan pengurusan tenaga kerja asing berpotensi menyediakan hasil sebanyak RM420 juta kepada syarikat itu pada tahun depan.

Ini susulan perjanjian yang dimeterai syarikat itu baru-baru ini untuk menyediakan perkhidmatan berkaitan tenaga kerja asing bagi 160,000 pekerja dari Myanmar.

Pengarah Eksekutifnya yang baru dilantik Ti Lian Seng berkata, Parlo, yang terlibat terutamanya dalam aktiviti  penyusunan perjalanan liburan dan korporat turut terjejas akibat daripada pandemik  COVID-19.

“Perniagaan utama kami adalah pelancongan dan sama dengan perniagaan lain seperti syarikat penerbangan, impak daripada pandemik itu tidak dapat dielakkkan. Oleh itu, kami memutuskan untuk berkembang ke dalam perniagaan baharu dan dalam masa yang sama memanfaat hubungan sedia ada Parlo dengan rakan kongsi di seluruh dunia, seperti di Jepun dan Thailand.

“Sebagai contoh, kami bekerjasama dengan pengendali bilik asrama sebelum ini, dan dengan pengembangan perniagaan baharu ini, kami akan menggunakan rangkaian sedia ada kami,” katanya kepada Bernama dalam temu bual secara maya.

Ti juga menjelaskan perjanjian yang dimeterai dengan Diamond Palace Group of Companies Limited yang berpangkalan di Myanmar itu akan membolehkan Parlo meneroka ke dalam projek lain iaitu menghasilkan dokumen pengenalan digital (e-ID) bagi 360,000 pekerja Myanmar.

Di bawah perjanjian muktamad antara Parlo dan Diamond Palace, syarikat itu akan menyediakan perkhidmatan termasuk mengatur urusan perjalanan, logistik dan bilik asrama, pemeriksaan perubatan, latihan vokasional serta penyelesaian ID bagi pekerja asing.

Diamond Palace mempunyai hak eksklusif konsesi 30 tahun dengan kerajaan Myanmar untuk membekalkan tenaga kerja dari negara tersebut.

“Kami menyediakan perkhidmatan bagi pekerja Myanmar dan ia bukan hanya terhad kepada tenaga kerja Myanmar di Malaysia sahaja, tetapi juga termasuk di Jepun dan Thailand. e-ID ini akan mempunyai beberapa ciri termasuk bagi tujuan keselamatan dan pengesahan ID yang lebih cekap daripada peringkat awal membuat permohonan untuk bekerja di luar negara dan sehingga apabila mereka mula menghantar pulang wang.

“Bagaimanapun, kami masih sedang menyelesaikan butiran projek ID itu, tetapi kami sudah pastinya berharap dapat memperkenalkannya pada pertengahan 2021,” katanya sambil menambah syarikat itu menganggarkan modal kerja sebanyak RM50 juta untuk membangunkan platform digital itu.

Menurutnya, modal kerja itu akan dijana sama ada daripada dana dalaman, pinjaman bank atau tawaran saham persendirian.

Mengenai sekatan perjalanan, beliau berkata perniagaan itu berbeza daripada pelancongan kerana permintaan terhadap pekerja asing adalah tinggi dan tidak terjejas oleh sekatan perjalanan kerana ia memerlukan kelulusan khas.

Beliau yang memberi contoh industri minyak sawit menjelaskan pandemik COVID-19 sebenarnya memburukkan lagi bekalan tenaga kerja asing.

Industri minyak sawit bergelut dengan isu buruh berikutan pembekuan pengambilan baharu pekerja dan kesukaran untuk mendapatkan pekerja baharu.

Ti berkata susulan penerokaan ke dalam perniagaan baharu itu Parlo berharap dapat meraih keuntungan tahun depan.

Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, kerugian Parlo meningkat kepada RM4.04 juta berbanding RM346,000 pada tahun sebelumnya apabila hasil menjunam kepada RM14.92 juta daripada RM77.95 juta sebelumnya.

— BERNAMA

Source link