info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Pasar Malam, Kedai Gunting Rambut, Pusat Cuci Kereta Dibenarkan Beroperasi

83views

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat cuci kereta dibenarkan beroperasi mulai esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mesyuarat khas hari ini memutuskan tiga jenis perniagaan itu dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Operasi pasar malam dibenarkan bermula jam 4 petang hingga 10 malam dengan mematuhi SOP ketat iaitu jarak gerai satu meter antara satu sama lain, hanya satu jalan masuk dibenarkan dan kawalan ketat pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Untuk kedai gunting rambut, dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam dan hanya khidmat gunting rambut dibenarkan.

“Petugas mesti mematuhi SOP ketat iaitu memakai pelindung muka, pelitup muka, apron pakai buang, sarung tangan dan alat mesti dibersihkan menggunakan air panas setiap kali selesai untuk setiap pelanggan,” katanya pada sidang media harian di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, operasi perniagaan pusat cuci kereta juga dibenarkan sehingga jam 10 malam.

Mengulas mengenai aktiviti sukan dan rekreasi, Ismail Sabri berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini turut membentangkan cadangan dan SOP bagi kelonggaran sektor sukan dan rekreasi khususnya berkaitan aktiviti sukan ‘outdoor’, gimnasium dalam kawasan kejiranan dan aktiviti yang tidak membabitkan sentuhan serta tanpa kehadiran orang ramai.

“SOP latihan atlet secara ‘quarantine-based approach’ serta SOP kejohanan industri sukan berimpak tinggi seperti liga bola sepak (MFL), liga hoki (MHL), dan liga takraw (STL) juga dibentangkan KBS mengikut model gelembung sukan (sports bubble).

“Selain itu, kita juga mendengar pembentangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung cadangan pembukaan beberapa sektor peruncitan.

“Walaubagaimanapun, kerajaan akan meneliti dan mempertimbangkan perkara ini terlebih dahulu berpandukan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) yang dibuat berdasarkan data-data terkini sebelum mengumumkan sebarang keputusan,” katanya.

Source Link