info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

Pasca Banjir : JKM Dirayu Jangan Berhenti Bekal Makanan

32views

MARAN, 8 Jan — Situasi selepas banjir ternyata lebih memeritkan bagi penduduk yang terlibat apabila berdepan kesukaran mendapat makanan selain terpaksa berputih mata apabila harta benda musnah dalam bencana alam itu.

Perkara itu dialami rata-rata penduduk Taman Maran Jaya di sini, yang terkesan selepas hampir seluruh kawasan perumahan itu ditenggelami banjir, Ahad lepas.

Pengerusi  Kawasan Rukun Tertangga Maran Jaya Haris Suhairi Abdullah berkata kebanyakan penduduk kini giat membersihkan rumah masing-masing yang diselaputi lumpur tebal termasuk pada peralatan dan perabot rumah.

“Kelengkapan memasak penduduk sudah rosak akibat ditenggelami air dan sehingga kini mereka masih mencuci rumah yang diselaputi lumpur… jadi saya amat berharap penduduk mendapat bantuan makanan berterusan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk sehari dua lagi,” katanya kepada Bernama.

Taman Maran Jaya yang dihuni 1,300 orang daripada 302 keluarga itu antara lokasi dilanda banjir buruk di negeri ini selepas hujan lebat berterusan bermula malam Sabtu.

Sementara itu, Mohamad Hanif, 27, berkata adalah lebih mudah bagi penduduk sekiranya bekalan makanan disediakan JKM kerana kebanyakan rumah mereka masih berselerak akibat banjir selain berdepan kekangan untuk memasak.

“Kami berterima kasih kepada JKM yang menghantar makanan kepada penduduk di pusat pemindahan sebelum ini, hari ini ada keluarga yang menghantar makanan untuk saya sekeluarga kerana kami masih sibuk membersihkan rumah.

“Jadi, saya amat berharap JKM dapat teruskan menghantar makanan sehingga penduduk selesai membersihkan rumah dan membeli dapur baru,” katanya.

— BERNAMA

Source link