info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Pastikan ‘Total Lock Down’ Menyeluruh – Sharkar

36views

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata memerangi COVID-19 adalah tindakan yang perlu dilibatkan semua rakyat Malaysia dengan sekatan pergerakan yang dilaksanakan pada masa ini menjadi medan peperangan yang sangat penting.

Menurut beliau Putrajaya perlu memastikan bahawa pelaksanaan ‘total lockdown’ pada ketika ini perlu menyeluruh demi memastikan dalam tempoh 14 hari ia dilaksanakan, sekatan perlu total demi memastikan penularan pandemik ini dapat dikawal sepenuhnya.

Total lockdown sepenuhnya juga perlu bagi membantu petugas barisan hadapan, hospital untuk meredakan situasi COVID-19 dalam tempoh singkat. Biar pahit seketika daripada menanggung sakit berterusan dan jumlah kematian akibat wabak ini semakin meningkat.

“Putrajaya mesti memperbetulkan dan menyelaraskan pelaksanaan ‘total lockdown’ ketika ini. Janganlah dalam waktu begini pun ada pusingan ‘U’ dibuat. Keputusan yang dibuat biarlah disepakati bersama kerana kita bercakap soal nyawa rakyat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Sharkar yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang seterusnya menambah keadaan hari ini membimbangkan dan rakyat tentunya telah mula bimbang apabila melihat kes positif jangkitan harian dan kes kematian akibat COVID-19 semakin meningkat sehingga mencatatkan 126 kematian semalam merupakan yang tertinggi di negara ini.

Semalam juga tambahnya, Malaysia mencatatkan kes kematian harian tertinggi jika hendak dibandingkan dengan Jepun, Jordan, Serbia, Austria, UAE, Nepal dan Lubnan malah dari segi kes harian jangkitan wabak itu, Malaysia turut mencatatkan jumlah tertinggi semalam.

“Adakah situasi itu baik kepada negara? Jumlah kematian harian hari ini (3 Jun 2021) turut melebihi angka 100 iaitu 103 kematian dan dengan kes jangkitan harian 8,209 berbanding 7,703 semalam.

“Dengan 103 kes kematian akibat jangkitan COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 meningkat kepada 3,096 kes. Berdasarkan kes kematian dan jangkitan harian yang semakin meningkat dan berlaku turun naik, adalah tidak mustahil kes kematian harian akibat wabak pandemik itu boleh meningkat sehingga 200 sehari.“Ia seperti mana kajian oleh Institute for Health Metric and Evaluation (IHME) University of Washington yang menganggarkan bahawa kadar kematian harian akan mencecah 200 kes menjelang akhir Ogos. Adalah suatu yang tidak mustahil juga kes kematian di negara ini jika tidak dibendung penularan pandemik ini ia boleh mencecah 26,000 kes menjelang September berdasarkan trajektori semasa seperti dinyatakan Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman,: ujarnya.

Ujarnya lagi, dengan kes kematian yang semakin meningkat itu, jangan semua pihak  (rakyat dan kerajaan) ambil mudah penularan wabak, pandemik tersebut kerana  perlu disedari bahawa situasi COVID-19 negara kini semakin parah dan Malaysia berada di kedudukan 10 teratas membabitkan kes jangkitan baharu.

“Nyawa dan keselamatan rakyat perlu diutamakan mengatasi segala-galanya. Ekonomi boleh dipulihkan kembali tetapi nyawa, tidak boleh ditukar ganti. Selain itu, jangan takut untuk divaksin, saya sendiri sudah menerimanya. Alhamdulillah, sehingga hari ini tidak ada apa-apa perkara pelik dan buruk berlaku.

“Pihak berkenaan khususnya Kementerian Kesihatan disaran turun ke kampung-kampung bagi memberikan penjelasan berhubung suntikan vaksin COVID-19. Dalam masa yang sama, membantu warga emas di situ untuk mendaftarkan diri mereka.

“Kerajaan perlu terus memperkasakan Program vaksinasi kebangsaan dan penjelasan berhubung vaksin perlu terus dilakukan kerana setiap hari ada sahaja pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan perkara yang tidak baik sekali gus menakutkan rakyat.

“Tingkatkan kawalan kendiri, kita jaga kita, pakai pelitup muka, jaga penjarakan fizikal dan jangan takut untuk divaksin. Semoga negara kita segera bebas dari penularan COVID-19 dan kehidupan rakyat kembali pulih seperti sedia kala. Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online