BeritaSukan

Pasukan Ragbi 7s mula latihan Khamis ini hadapi kelayakan Komanwel

KUALA LUMPUR, 31 Ogos  — Pasukan ragbi 7-sebelah (7s) lelaki dan wanita kebangsaan  bakal memulakan latihan pusat secara gelembung sukan Khamis ini di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai persediaan ke kelayakan Sukan Komanwel 2022.

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua pasukan yang sedang menjalani kuarantin selama lima hari selepas melapor diri di UPM pada 28 Ogos lepas, perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan UPM.

Menurut KRM, tempoh kuarantin dikurangkan daripada 10 hari ke lima hari selepas mengambil kira kesemua atlet dan jurulatih telah lengkap dua dos vaksin.

Bagaimanapun, hanya pemain, jurulatih dan pegawai yang sihat dan bebas jangkitan ketika ujian RTK pada 2 Sept ini oleh Institut Sukan Negara (ISN) akan dibenarkan turun berlatih bagi menghadapi Kejohanan Siri Ragbi Asia yang juga merupakan kejohanan kelayakan Birmingham 2022.

Siri pertama dan kedua kejohanan itu akan diadakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), masing-masing pada 19-20 Nov dan 26-27 Nov ini.

“Bagi skuad ragbi 7s wanita, lima pemain senior yang pernah beraksi di Sukan SEA 2017 dan 2019 telah dipanggil untuk menjalani latihan bersama pasukan,” menurut kenyataan itu.

Lima pemain tersebut ialah Maslina Ahmad Ismail, Christina Edris, Cindy John Pasan, Fidelia Limang Telajan dan Wan Zufirah Mohd Nasir.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button