Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaPBSM Melaka pergiat aktiviti tertangguh akibat COVID-19

PBSM Melaka pergiat aktiviti tertangguh akibat COVID-19

MELAKA, 31 Mei (Bernama) — Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Melaka akan menggiatkan semula aktiviti yang tertangguh sejak dua tahun lepas akibat pandemik COVID-19 termasuk di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengerusi PBSM Ramli Mohd Ali berkata sehingga kini, terdapat 5,000 ahli persatuan itu yang berdaftar di Melaka termasuk guru, pelajar sekolah serta penuntut universiti dan kolej.

“Setiap tahun, kita mengadakan kursus kepimpinan kepada guru seperti ilmu Bantuan Mula bagi membantu mereka memberi bimbingan kepada pelajar yang menyertai unit kokurikulum PBSM di sekolah.

“Selain itu, kita berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat seperti menyediakan pengangkutan yang efektif kepada golongan memerlukan dengan mengenakan caj minimum termasuk perkhidmatan ambulans,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah, Pingat dan Sijil serta Jamuan Aidilfitri PBSM Melaka yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Pada majlis itu, kira-kira 121 orang menerima pingat serta sijil penghargaan atas jasa dan sumbangan tenaga, kewangan, kenderaan, makanan, pakaian mahupun peralatan pelindung diri.

Ramli berkata dalam tempoh dua tahun pandemik melanda, PBSM menerima pelbagai sumbangan daripada orang ramai termasuk syarikat korporat yang membolehkan persatuan itu membantu golongan memerlukan.

“Kita juga mahu lebih ramai lagi tampil menjadi sukarelawan dan sehingga kini, terdapat 70 sukarelawan PBSM Melaka yang aktif menjalankan misi bantuan seperti ketika bencana banjir yang melanda pada awal tahun ini,” katanya.

— BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular