Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaPBT diminta kaji semula peraturan penyewaan premis kepada usahawan

PBT diminta kaji semula peraturan penyewaan premis kepada usahawan

IPOH, 29 Mei (Bernama) — Pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini diminta mengkaji semula peraturan terhadap kegunaan premis perniagaan yang disewakan kepada para usahawan bagi mengelakkan ia disalah guna.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata ini kerana pihaknya menerima aduan mengenai kebanyakan premis yang disewakan tidak beroperasi seperti yang sepatutnya.

“Premis PBT yang disewa usahawan tidak digunakan ada dibangkitkan dalam banyak sesi dialog dengan usahawan dan saya sudah timbulkan dalam mesyuarat Exco untuk melihat semula kerana PBT ada syarat-syarat penyewaan.

“Rakyat tengok banyak premis kosong sedangkan ramai di luar sana memerlukan premis jadi sebagai Exco, saya mewakili usahawan mahu meminta kerjasama daripada PBT khususnya Yang Dipertua untuk melihat premis yang tidak dimanfaatkan sebaik mungkin supaya peluang itu dapat diberikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPPM) Perak di sini hari ini.

Zainol Fadzi berkata PBT diminta meletakkan syarat kepada penyewa yang tidak menggunakan premis dalam tempoh tertentu dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas premis yang disalah guna dengan tidak beroperasi mengikut jenis perniagaan seperti permohonan antaranya disewa untuk dijadikan stor serta bukan untuk menjalankan perniagaan.

Beliau berkata pihaknya mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi yang mempunyai premis termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) untuk disewakan kepada usahawan memerlukan.

“Kita telah meminta Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak (Step) supya berhubung dengan agensi ini bagi mendapatkan maklumat premis yang mereka ada untuk disewakan kepada usahawan memerlukan dan mempromosikan kepada mereka yang mahu menyewa,” katanya.

Zainol Fadzi menarik perhatian apabila mendedahkan bahawa terdapat usahawan yang menjalankan percetakan batik yang memerlukan premis di Perak terpaksa beroperasi di negeri lain disebabkan kesukaran mendapatkan premis.

“Ada isu dan mengejutkan apabila terdapat pencetak batik di Perak terpaksa pergi ke Selangor sebab tidak dapat premis untuk disewa dan kini mereka sudah diberikan premis jadi tidak perlu usahawan keluar ke tempat lain,” katanya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular