info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Pelabuhan Minyak Terbesar Arab Saudi Dan Kawasan Perumahan Saudi Aramco Diserang

92views

RIYADH, 8 Mac — Sebuah dron menyerang pelabuhan minyak Arab Saudi dan peluru berpandu balistik menyasarkan kemudahan tenaga Aramco di timur negara itu semalam, kata Kementerian Tenaga.

“Satu kawasan tangki minyak di Pelabuhan Ras Tanura di Wilayah Timur, antara pelabuhan minyak terbesar di dunia, diserang pagi ini oleh dron dari laut, kata kementerian itu dalam satu kenyataan dikeluarkan agensi media tempatan Arab Saudi.

Kemudian semalam katanya, peluru berpandu balistik jatuh berhampiran kawasan perumahan Saudi Aramco di bandar Dhahran, lokasi tempat tinggal ribuan pekerja syarikat itu dan keluarga mereka.

Dalam satu lagi kenyataan, Kementerian Pertahanan memberitahu dron yang menyerang dari laut dimusnahkan dan dijatuhkan sebelum mencapai sasarannya sementara peluru berpandu balistik yang menyasarkan kemudahan Aramco di Dhahran juga musnah.

Difahamkan serpihan peluru berpandu itu jatuh berhampiran kawasan infrastruktur awam.

Kementerian Pertahanan menjelaskan serangan itu menyasarkan sumber penting ekonomi dunia, bekalan minyak dan keselamatan tenaga global.

Tiada laporan dan makluman berkaitan korban atau kerosakan serta siapa yang bertanggungjawab di sebalik serangan itu.

Bagaimanapun pemberontak Huthi Yaman mendakwa di Twitter mereka menembak dron dan peluru berpandu ke arah Ras Tanura dan sasaran ketenteraan di kawasan Dammam, berdekatan Dhahran.

Terdahulu semalam, gabungan tentera pimpinan Arab Saudi melakukan serangan udara di ibu kota Yaman, Sanaa yang dikuasai Huthi selepas memintas sejumlah dron dan peluru berpandu yang dilancarkan pemberontak disokong Iran, lapor SPA.

Perkembangan itu menandakan peningkatan baharu konflik enam tahun antara pemerintah Yaman dan pemberontak Huthi, biarpun gesaan pentadbiran Amerika Syarikat yang baharu mahu menamatkan permusuhan.

— AFP.