info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Perniagaan

Pelabur Jepun Yakin Dengan Malaysia

Gambar ihsan Harian Metro
106views

KUALA LUMPUR, 7 Okt — Syarikat Jepun dilihat terus yakin dengan kemampanan ekonomi Malaysia apabila mula meneroka sektor perniagaan baharu seperti sektor kesihatan, pembuatan peralatan perubatan, teknologi digital dan industri makanan halal setelah berdekad menumpukan operasi dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Mengimbas kembali kedatangan pelabur Jepun ke Malaysia, Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka berkata pelabur Jepun sudah mula bertapak di Malaysia sejak 1970-an dan trend menjadi semakin meningkat setelah dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan pada tahun 1980-an yang memperlihatkan syarikat seperti Toray, Hitachi, Sony dan Panasonic membuka perniagaannya di Malaysia sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Oka menyatakan bahawa pelabur Jepun berkembang seiring dengan sektor pengindustrian Malaysia apabila kini terdapat hampir 1,500 syarikat Jepun yang rata-ratanya tertumpu pada sektor E&E menyumbangkan hampir 40 peratus eksport Malaysia.

Menariknya, ketika industri perindustrian secara global terjejas oleh pandemik COVID-19 dan terpaksa membuat pengurangan pekerja secara besar-besaran, syarikat Jepun dilihat berjaya mengharungi kesan COVID-19 ini dan mengekalkan kakitangan mereka yang berjumlah lebih kurang 340,000 sepanjang beberapa bulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Oka berkata, tahun lalu, Jepun menyumbang kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan jumlah aliran pelaburan langsung ke negara ini, menjadikannya penyumbang terbesar pelaburan langsung asing di Malaysia

Dalam bidang perubatan, Mitsui salah sebuah syarikat dagangan utama Jepun, tahun lalu telah membeli tambahan 16 peratus pegangan daripada rangkaian hospital global Malaysia, IHH Healthcare Berhad (IHH).

Tahun lalu juga menyaksikan Malaysia menjadi negara pertama yang menjadi pilihan sebuah syarikat pembuatan peralatan perubatan Jepun yang menghasilkan peralatan perubatan kardiovaskular canggih untuk dieksport kembali ke Jepun.

Syarikat itu juga menimbang untuk mengeksport peralatan perubatan berkualiti tingginya ke pasaran Asia lain pada masa depan. Justeru, pembuatan peralatan perubatan adalah satu daripada bidang baharu bagi pelaburan Jepun di Malaysia, ujar Oka.

Dalam industri teknologi teknikal pula, sebuah syarikat pemula niaga ditubuhkan di Malaysia tahun ini untuk menyediakan perkhidmatan berasaskan data mobiliti bagi menambah baik kesedaran keselamatan pemanduan dan menyumbang kepada penyuraian kuantiti trafik dan mengurangkan kemalangan.

Selain itu, syarikat terkemuka Hitachi telah menjadikan Malaysia sebagai hab serantaunya bagi perkhidmatan penyelesaian berasaskan teknologi digital untuk seluruh rantau Asean.

Oka juga memberitahu bahawa industri makanan halal adalah industri baru yang menarik perhatian pelabur Jepun memandangkan sijil halal yang dikeluarkan Malaysia dianggap sebagai sangat boleh dipercayai di peringkat global.

Pelabur Jepun berjaya menembusi pasaran Islam dan Timur Tengah dengan produk makanan mereka yang memiliki sijil halal Malaysia dengan menjadikan Malaysia sebagai pusat sehentinya.

Jepun juga dilihat berminat untuk memasuki industri pesawat di Malaysia apabila menimbangkan kerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta Jepun dalam industri pesawat di Malaysia.

Oka berkata pandemik COVID-19 tidak menjejaskan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi bagi perniagaan Jepun malah kerajaan Jepun sentiasa menyokong perniagaan dari Syarikat Jepun yang membuat pelaburan di Malaysia.

Leave a Response