Berita

Pelajar Positif COVID-19 Tidak Dibenarkan Ambil Peperiksaan SPM Esok

97views

KOTA BHARU, 21 Feb — Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kelantan yang dijangkiti COVID-19 tidak akan menduduki peperiksaan esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, berkata mereka akan menduduki peperiksaan pada tarikh yang akan ditetapkan nanti.

“Mereka ini akan dikumpulkan dalam satu tarikh yang sesuai untuk mengambil peperiksaan itu selepas mereka habis tempoh kuarantin.

“Berapa bilangan pelajar dan sekolah yang tangguh, saya tidak mempunyai maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Negeri di Kompleks Darulnaim di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 41 calon SPM di sebuah sekolah asrama di Machang disahkan positif COVID-19.

Kesemua pelajar terbabit dibawa ke pusat kuarantin di Dewan Jubli Perak dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) selepas disahkan positif.

Kes calon SPM berkenaan adalah kontak kepada Kluster Pangkal Changgong yang membabitkan tiga daerah iaitu Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Dalam perkembangan lain ketika mengulas mengenai vaksin, Dr Izani berkata petugas barisan hadapan di negeri itu dijangka menjadi pasukan terawal yang akan menerima vaksin pada Mac nanti.

“Kita jangkakan kakitangan pasukan perubatan akan menerima terlebih dahulu sebelum barisan EXCO, pasukan keselamatan dan lain-lain.

“Namun, perkara itu belum dimuktamadkan lagi dan masih dalam peringkat perbincangan,” katanya.

Source Link