info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Pelan Rangkaian Infrastruktur PUDO Akan Diwujudkan Sebagai Platform Tunggal

42views

PUTRAJAYA, 5 Jun  — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mewujudkan Pelan Rangkaian Infrastruktur Pusat Pungutan dan Serahan (PUDO) sebagai platform tunggal untuk titik serahan setempat.

Menerusi kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan pelan yang dianggotai pelbagai pemain industri itu dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan pengumpulan semua titik serahan setempat PUDO oleh pelbagai syarikat di bawah satu bumbung, manakala fasa kedua pula menghubungkan platform tersebut yang diintegrasikan dengan e-pasaran.

MCMC menjelaskan ia juga sedang meneroka potensi Pusat Internet Komuniti (PIK) untuk dijadikan sebagai titik serahan setempat PUDO di bawah inisiatif PUDO@PIK sebagai kemudahan penduduk di kawasan luar bandar.

“Perancangan sedang berjalan bagi mendapatkan sokongan daripada pihak berkepentingan dan mewujudkan satu peluang ekonomi kepada kedai-kedai runcit untuk menyertai rangkaian titik serahan setempat PUDO,” menurut MCMC.

MCMC menyatakan kedua-dua inisiatif tersebut merupakan antara usaha bagi meningkatkan PUDO di seluruh negara sekali gus memberikan kualiti perkhidmatan (QoS) dan pengalaman lebih baik kepada pengguna selain menjana pertumbuhan sektor e-dagang.

Ia juga selaras pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah mengenai Pakej Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) pada Khamis lepas, menurut kenyataan itu.

PAKEJ bakal menyaksikan lebih banyak PUDO bebas dalam usaha mempertingkat perkhidmatan pos dan kurier sekali gus mewujudkan perkhidmatan kelas pertama kepada pengguna Malaysia.

Bagi melancarkan perkhidmatan penghantaran ke bangunan tinggi, MCMC telah mengenal pasti PUDO@bangunan tinggi sebagai strategi dengan mewujudkan loker bungkusan di bangunan berkenaan.

Mengenai aspek QoS pula, MCMC sedang menyediakan deraf Garis Panduan Mengenai Amalan Terbaik Industri yang menekankan tiga aspek iaitu kualiti perkhidmatan, perlindungan serta skim liputan untuk bungkusan pengguna dan pengenalan jaminan perkhidmatan.

MCMC memberitahu ia telah menjalankan sesi konsultasi dengan Persatuan Syarikat Penghantar Ekspres Malaysia dan Forum Pos dan juga akan menjalankan sesi konsultasi dengan pelbagai agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan.

— BERNAMA

Source link