BeritaCOVID19

Pelancongan Langkawi : KKM Pertingkat Kesiapsiagaan Dan Kapasiti Hospital, Hadapi Sebarang Kemungkinan

KUALA LUMPUR, 12 Sept — Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah meningkatkan kesiapsiagaan serta kapasiti Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi, lokasi projek rintis gelembung pelancongan domestik yang akan bermula Khamis depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata langkah itu sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19 yang memerlukan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU).

Katanya, HSM adalah hospital hibrid merawat pesakit COVID-19 dengan kapasiti 79 katil, selain 142 katil bagi kes bukan COVID-19.

“Kesiapsiagaan serta peningkatan kapasiti ini seiring pengumuman Pulau Langkawi sebagai lokasi projek rintis gelembung pelancongan domestik bermula 16 September depan.

“Melalui pembukaan i-PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19) Lapangsasar Antarabangsa Langkawi Malasyia (LISRAM) pada 4 Ogos lalu, sebanyak 60 katil tambahan disediakan bagi merawat pesakit COVID-19 untuk kategori 1, 2 dan 3 (berisiko rendah),” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Sementara itu, katanya, bagi ICU, sebanyak lapan katil tambahan disediakan sebelum ini, menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13.

“Daripada jumlah ini, sembilan katil adalah dikhususkan bagi merawat kes COVID-19,” katanya.

Katanya, jabatan lain di HSM, iaitu Jabatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Patologi dan Transfusi Perubatan, Jabatan Pediatrik, Jabatan Forensik serta Unit Hemodialisis turut merancang pelan kesiapsagaan masing-masing bagi merawat kes COVID-19 yang mungkin bertambah.

“Melalui perbincangan bersama pihak HSM dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, beberapa cadangan penambahbaikan sudah diberikan, termasuk penetapan nilai ambang kadar kemasukan pesakit harian sebagai petanda amaran agar tindakan proaktif tertentu diambil.

“Ini termasuk keperluan menambah katil bukan ICU dan ICU untuk kes COVID-19, mobilisasi petugas kesihatan dan aset dari daerah atau negeri lain, evakuasi pesakit melalui pengangkutan udara ke hospital rujukan lain serta penubuhan PKRC yang dikendalikan pihak swasta,” katanya.

Sementara itu, KKM turut menasihatkan semua bakal pengunjung Langkawi supaya sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Tatkala kita cuba mengimbangi di antara nyawa dengan kelangsungan hidup dan ekonomi, marilah kita bersama-sama memastikan tiada peningkatan jangkitan virus COVID-19 di pulau percutian ini. Kerjasama semua sangat diperlukan,” katanya.

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button