info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

Pelbagai Agensi Terlibat Operasi Pembersihan Tumpahan Minyak Di Tanjung Tuan

97views

ALOR GAJAH, 18 Okt  — Pelbagai agensi dan jabatan di Melaka digerakkan bagi membantu operasi pembersihan susulan insiden tumpahan minyak di Tanjung Tuan di sini hingga ke Teluk Kemang, Negeri Sembilan, pada Isnin lepas.

Antara jabatan yang terlibat dengan kerja-kerja pembersihan itu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata pasukan bomba berperanan melakukan kerja-kerja menakung, mengawal, menyerap serta memindahkan tumpahan minyak di kawasan darat dan perairan yang tercemar.

“Setakat ini, JBPM Melaka telah empat hari terlibat dalam operasi pembersihan tumpahan minyak di kawasan berkenaan dan setiap hari antara empat hingga lima anggota dari Balai Alor Gajah dan Masjid Tanah ditugaskan melakukan kerja-kerja tersebut.

“Pada mulanya, dua hari pertama dalam operasi tersebut, anggota JBPM Melaka hanya terlibat melakukan pembersihan di kawasan darat tetapi masuk hari ketiga dan keempat kami telah ditugaskan di kawasan perairan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja berkenaan dilakukan menggunakan peralatan khas antaranya absorbant boom, personal flotation device (PFD), kelengkapan perlindungan diri (PPE), tali menyelamat dan bot aluminium.

Sementara itu, Pegawai Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Leftenan Maritim Aieri Nizzam Norizan berkata Unit Udara Maritim dengan menggunakan helikopter turut digerakkan bagi memantau situasi sebenar pencemaran yang berlaku khususnya di kawasan perairan.

“Tompokan minyak yang berlaku di tengah perairan hanya boleh dilihat jelas menerusi pemandangan dari udara menggunakan helikopter berbanding dron dan sejauh mana kawasan terlibat telah dibersihkan,” katanya.

Beliau berkata enam anggota Maritim turut ditugaskan di kawasan laut menggunakan bot untuk menjaga keselamatan petugas dan membantu dari segi logistik, manakala enam lagi anggota Maritim terlibat membantu agensi lain dalam kerja-kerja pembersihan di kawasan persisiran pantai.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Norlin Jaafar hari ini dilaporkan berkata dianggarkan 80 peratus kerja pembersihan berjaya dilakukan yang tertumpu di kawasan pantai, kawasan paya bakau dan di perairan Tanjung Tuan melibatkan kerjasama pelbagai agensi, pihak swasta dan badan bukan kerajaan.

Norlin dipetik sebagai berkata kerja pembersihan itu dipengaruhi pelbagai faktor termasuk cuaca, keadaan pasang surut, keadaan fizikal kawasan terjejas, magnitud impak dan keberadaan baki sisa tumpahan atau tompokan kecil yang masih berada di laut.

Pada 12 Okt, Maritim Melaka dan Negeri Sembilan mengesan pencemaran laut disebabkan tumpahan minyak lebih kurang tiga batu nautika di perairan Tanjung Tuan hingga ke Teluk Kemang.

— BERNAMA

Source link