info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Pelepasan Air Empangan Bakun Esok

126views

KUCHING, 22 Dis — Pelepasan air secara terkawal di Empangan Hidro Elektrik Bakun akan dilaksanakan selama lima minggu bermula esok.

Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan, pelepasan air itu akan dilaksanakan sehingga air di dalam empangan berkenaan berada di paras normal.

Dalam tempoh itu, pelepasan dikawal sepenuhnya bagi menyeimbangkan paras air di empangan untuk meminimum kesan di sepanjang kawasan hilir Sungai Rejang.

“Kenaikan paras sungai akan berkurang apabila jaraknya meningkat dan kawasan yang paling jauh di hilir empangan akan mengalami kenaikan paras sungai yang umumnya tidak dapat dilihat.

“Sebagai contoh, air yang dilepaskan dianggarkan mengalir melepasi bandar Kapit, kira-kira satu hari kemudian dan bandar Sibu selepas tiga hari,” kata SEB menerusi kenyataan itu.

Beliau berkata, pelepasan air itu tidak akan mencetuskan banjir kerana jumlah air yang disalurkan ke Sungai Rejang terkawal.

Banjir boleh berlaku apabila bertembung dengan faktor semula jadi seperti hujan lebat, paras air laut yang tinggi di pesisir pantai dan peningkatan jumlah air yang mengalir dari anak sungai sepanjang Sungai Rejang.

Empangan itu mempunyai kapasiti penyimpanan air sebanyak 40 bilion meter padu.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh perunding pihak ketiga menunjukkan empangan itu ​​menyimpan 30 peratus aliran air dari anak-anak sungai di hulu Sungai Rejang dan ia membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan hilir Belaga, Kapit dan Sibu.

“Apabila paras air di empangan Bakun melebihi tahap tertentu, air dilepaskan pada jumlah yang ditetapkan melalui alur limpah yang direka khas untuk tujuan itu.

“Pelepasan terkawal ini dilakukan secara bermusim selepas mendapat kebenaran daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak. Penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Rejang dimaklumkan sekurang-kurangnya dua hari sebelum pelepasan yang dilakukan,” katanya.

Katanya, itu amalan biasa yang dilakukan oleh pengendali empangan Bakun sejak beroperasi pada 2010.

Source Link