info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Pelitup Muka, PPE Komark Terima ISO

88views

KUALA LUMPUR, 20 Okt  — Anak syarikat Komarkcorp Bhd, Komark Mask (M) Sdn Bhd memperoleh pensijilan ISO daripada pengawal selia berkenaan sekali gus mengesahkan piawaian premis, kemudahan dan pembuatannya memenuhi keperluan sistem pengurusan kualiti antarabangsa bagi peralatan perubatan.

Dalam kenyataan hari ini, Komarkcorp berkata ia akan menjadi pembuat pelitup muka pembedahan yang diperakui sepenuhnya serta merancang untuk mempercepatkan langkah peningkatan pengeluaran dan pelancaran jenama.

Ia juga menyasarkan kapasiti semasa pada 3.5 juta helai pelitup muka sebulan ditingkat sebanyak sekali ganda lagi menjelang akhir November dengan pemasangan barisan jentera tambahan.

Komarkcorp, yang mengumumkan langkah mempelbagaikan operasi menerusi usaha menceburi pembuatan pelitup muka pada beberapa bulan lepas, merancang menyegerakan pengenalan jenamanya dalam pasaran tempatan dan serantau, dengan memanfaatkan operasi di Thailand, Singapura dan Indonesia bagi menarik permintaan semasa yang semakin meningkat.

Berlandaskan pensijilan ISO itu, Komarkcorp juga akan meneroka perluasan kepelbagaiannya untuk merangkumi pembuatan peralatan pelindung peribadi (PPE) bagi memanfaatkan lonjakan permintaan semasa susulan gelombang ketiga pandemik COVID-19 di Malaysia.

“Ekoran pandemik COVID-19 dijangka mencecah tahap baharu bagi tempoh musim dingin ini, permintaan diunjurkan meningkat ketara,” katanya.

Komarkcorp berkata ia merancang untuk mewujudkan 30 barisan pengeluaran pelitup muka dalam tempoh dua tahun akan datang, terutama bagi jenis tiga lapis dan KN95, dengan sasaran kapasiti pengeluaran tahunan sehingga 522 juta helai pelitup muka tiga lapis dan 120 juta dari jenis KN95.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Koh Chie Jooi berkata perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dengan China yang berterusan juga mewujudkan desakan bagi mendapatkan bekalan pelitup muka bukan keluaran China.

“Ini merupakan peluang luar biasa bagi Komarkcorp untuk meletakkannya sebagai peserta global dengan pelitup muka buatan Malaysia berkualiti tinggi yang dieksport ke ekonomi barat.

“Komarkcorp juga akan segera meneroka pelaksanaan pembuatan PPE untuk meningkatkan langkah kepelbagaian operasi,” katanya.

Koh berkata permintaan terhadap pelitup muka akan meningkat seiring dengan permintaan untuk PPE, dan syarikat akan mempertimbangkan untuk menambah produk tersebut ke dalam portfolio penyelesaian pelupusan pukal peralatan perubatan sekali pakai bagi pasaran tempatan dan eksport.

— BERNAMA

Source link