info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

Pembangunan Daerah Baharu Masjid Tanah Dijangka Siap 2025

94views

MELAKA, 17 Okt  — Pembangunan satu daerah baharu di Melaka iaitu Daerah Masjid Tanah dijangka dapat direalisasikan sepenuhnya selewat-lewatnya menjelang 2025, kata Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata setakat ini kerajaan negeri menerusi agensi dan jabatan terlibat sedang mengumpul data dan maklumat yang diperlukan untuk diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan dan kabinet untuk kelulusan.

“Proses persempadanan fizikal bagi Daerah Masjid Tanah juga sedang dilakukan dan pembangunannya dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 penduduk.

Selain itu, pembangunan daerah baharu ini juga akan memberi peluang pekerjaan dan perkhidmatan baharu kepada rakyat negeri Melaka khususnya di Masjid Tanah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Cawangan Kelapan Al Ikhlas Gadget di Klebang di sini, hari ini.

Beliau berkata pembangunan Daerah Masjid Tanah juga akan merancakkan pelbagai aktiviti ekonomi khususnya menerusi Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi serta Universiti Malaysia Melaka yang sedang dibangunkan di kawasan berkenaan.

Untuk rekod, setakat ini Melaka mempunyai tiga daerah penuh iaitu Daerah Melaka Tengah, Daerah Jasin dan Daerah Alor Gajah selain Daerah Kecil Sungai Rambai.

Source link