info@rakyat.my
Wednesday, June 16, 2021
Berita

Pemberian Vaksin COVID-19 Kepada Warga Emas, Usaha Kurangkan Kadar Kematian

30views

KUALA LUMPUR, 20 Feb — Pemberian vaksin COVID-19 kepada penghuni dan kakitangan di pusat jagaan warga emas adalah antara usaha kritikal dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, khususnya bagi mengurangkan kes kematian akibat jangkitan wabak itu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata ia berikutan hampir 70 peratus daripada jumlah kematian akibat COVID-19 di negara ini, adalah dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Justeru, katanya, kerajaan mengalu-alukan segala usaha daripada mana-mana pihak untuk meningkatkan kesedaran dan tahap penerimaan vaksin COVID-19 dalam kalangan kakitangan dan penghuni pusat jagaan warga emas dan rumah jagaan kejururawatan.

“Setiap kali berlaku jangkitan COVID-19 di pusat jagaan warga emas atau rumah jagaan kejururawatan, semua kakitangan dan penghuni perlu dikuarantin dan disaring, tetapi rutin jagaan harian masih perlu diteruskan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Nasional Pelan Vaksinasi untuk Kakitangan dan Penghuni Pusat Jagaan Berkediaman Warga Emas, yang dianjurkan secara dalam talian, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Siti Anom Ahmad serta Ketua Misi dan Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Jacqueline Lo Ying-Ru.

Ahmad Amzad memaklumkan, vaksinasi untuk 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas dan Orang Kurang Upaya (OKU) akan dijalankan dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada April hingga Ogos depan.

Dalam pada itu, beliau berharap forum berkenaan menjadi platform perkongsian perancangan kerajaan dan maklum balas pemilik, pengendali, kakitangan, penghuni dan ahli keluarga penghuni pusat jagaan warga emas serta rumah jagaan kejururawatan.

Katanya, kerajaan mengalu-alukan bantuan WHO, Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia (MSGM), MyAgeing UPM dan mana-mana pihak berkepentingan bagi meningkatkan penerimaan vaksin dalam kalangan kakitangan dan penghuni pusat jagaan berkediaman warga emas.

“Kementerian menghargai usaha forum ini untuk meningkatkan kesedaran kepada pengendali dan pemilik pusat jagaan warga emas serta rumah jagaan kejururawatan tentang kepentingan kerjasama semua pemegang taruh untuk berkongsi maklumat atau menjadi rakan kongsi kerajaan dalam usaha imunisasi COVID-19.

“Saya percaya tiada yang mustahil jika semua pemegang taruh berganding bahu dan menggembleng usaha memerangi COVID-19. Kerajaan adalah rakan dan bukan lawan dalam usaha vaksinasi COVID-19,” katanya.

Source Link