
Pembersih Hampagas Acer Clean V1 Dilancarkan Pada Harga Bermula RM599
Acer ialah jenama yang garang dalam arena komputer menerusi produk Predator mereka. Musuh boleh diburu dalam permainan video pada tetapan grafik yang tertinggi. Tetapi kini mereka memasuki arena pembersih hampagas pula di bawah siri Acerpure.
Pembersih Acerpure Clean V1 dan Clean V1 Lite memasuki pasaran Malaysia dengan kedua-duanya adalah dari jenis nirwayar. Clean V1 adalah model paling mercu dengan kemampuan menyedut 23,000 Pa dilengkapi dengan kepala pembersih berputar bagi memudahkan kotoran disedut.
Terdapat lampu LED di bahagian kepala pembersih supaya debu lebih mudah dikesan. Tiga mod pembersihan ditawarkan dengan tahap sedutan berbeza. Menurut Acer, Clean V1 boleh menyedut partikel sekecil 0.3 mikron. Berat keseluruhan Clean V1 pula ialah 1.5 kilogram.
Acerpure Clean V1 Lite pula adalah versi lebih kompak seberat 550 gram dengan kemampuan menyedut 13,000 Pa. Ia direka untuk membersihkan ruangan kecil yang tidak bole diakses menggunakan pembersih hampagas biasa.
Di Malaysia Acerpure Clean V1 dijual pada harga RM1299 dan AcerPure Clean V1 Lite pula ialah RM599. Tetapi sempena promosi 12.12 ia boleh dibeli masing-masing pada harga RM1099 dan RM369 sebuah.