
Pembinaan LCS pertama capai 70 peratus, jangka siap pertengahan 2024 – Menteri Pertahanan
Mohamad Hasan berkata, biarpun sukar namun beliau akan memastikan projek LSC TLDM itu disiapkan.
LUMUT, 9 Jan. – Proses pembinaan kapal tempur persisir (LCS) pertama kini telah mencapai tahap 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2024.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan berkata demikian semasa mengadakan lawatan ringkas ke Boustead Naval Shipyard (BNS), Lumut, Perak pada 9 Januari 2023.

“Tujuan saya ke sini (Boustead Naval Shipyard, BNS) adalah untuk melihat sendiri tahap pelaksanaan projek pembinaan LCS yang banyak diperkatakan, sehingga menjadi isu nasional.
“Saya dapat melihat proses pembinaan tersebut dalam beberapa peringkat, ada lima biji (LCS)…dan kapal (LCS) pertama telah sampai peringkat 70 peratus.
“Saya amat gembira melihat perkembangan ini, dan saya penuh yakin bahawa kapal LCS yang pertama boleh siap pada tahun 2024, boleh jadi dalam pertengahan tahun (2024),” jelasnya yang mesra dipanggil ‘Tok Mat’, dipetik sumber kementerian.
Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata semalam beliau turut berpeluang melawat Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.
Menurutnya, bot tempur yang hilang kawalan serta terlanggar KD Laksamana Tan Pusmah semasa demonstrasi manuvra sempena Hari Terbuka Armada 2022 (HTA22) pada 29 Disember tahun lepas, telahpun dibaiki sepenuhnya.
“Bot tempur itu telah dibaiki sepenuhnya, cepat, Alhamdulillah, dibaik pulih oleh anggota kita sendiri,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah memberikan taklimat berwajib kepada pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Terdahulu, sejak musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekitar bulan November 2022, projek pembinaan LCS TLDM menjadi antara isu kontroversi di tanah air ini.
Mohamad, selepas dilantik menjadi Menteri Pertahanan antara lain dilaporkan berkata bahawa pihaknya mengambil tanggungjawab untuk menyiapkan projek bernilai RM9 bilion itu sungguhpun sukar.
“Kita kena lihat ke hadapan untuk pastikan kapal-kapal ini dibina, tak guna kalau kita bercakap mengenai sejarah, tapi kita kena lihat apa yang kita hendak dicapai.
“Ini merupakan aset dan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tak guna masukkan orang dalam penjara, tapi yang penting kita kena fokus kepada apa yang perlu dilakukan.
“Saya akan berusaha bersama-sama kepimpinan Kementerian Pertahanan dan akan memohon kerajaan Malaysia meneliti dengan baik dan kita nak pastikan kapal-kapal ini dibina dalam keadaan terbaik,” katanya semasa itu.
~ Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang