Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaPembukaan MRT Laluan Putrajaya rancakkan pembangunan kawasan lama

Pembukaan MRT Laluan Putrajaya rancakkan pembangunan kawasan lama

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) — Pembukaan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya dijangka mencetus dan merancakkan semula pembangunan di kawasan-kawasan lama atau yang belum dibangunkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata melalui pembukaan laluan itu, kerajaan yakin kawasan sepanjang jajaran seperti Jinjang, Sungai Buloh, Kepong dan Bandar Sri Damansara akan membangun lebih pesat, setara dengan kawasan-kawasan di bandar lain.

“MRT Laluan Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu manakala Laluan Fasa Dua yang kini hampir siap sepenuhnya, melibatkan laluan dari Kampung Batu ke Putrajaya.

“Laluan Fasa Dua akan melalui kawasan strategik termasuk pusat bandar Kuala Lumpur dengan stesen bawah tanah seperti Titiwangsa, Hospital Kuala Lumpur, Ampang Park, Persiaran KLCC dan Tun Razak Exchange (TRX),” katanya ketika berucap melancarkan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kemudahan laluan MRT Putrajaya akan terus menjadi pemangkin ke arah mengeratkan hubungan antara komuniti penduduk terutama yang tinggal berdekatan dengan jajaran.

“Rakyat akan lebih mudah bergerak dan berulang-alik ke tempat kerja, bersosial dan mengakses kemudahan awam yang lain,” katanya

MRT Laluan Putrajaya sepanjang 57.7 kilometer mempunyai 36 stesen terdiri daripada 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah dengan keseluruhan kos pembinaan sebanyak RM30.53 bilion.

Sempena pelancaran hari ini, Ismail Sabri  mengumumkan perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL merangkumi MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Bas (BRT), monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini.

“Saya berharap Keluarga Malaysia yang terlibat mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan #JomNaikMRT,” katanya.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular