Home Berita Pemilihan PKR 2022: Rafizi dahului Saifuddin lebih 50,000 undi

Pemilihan PKR 2022: Rafizi dahului Saifuddin lebih 50,000 undi

33
0

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) — Rafizi Ramli mendahului Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan PKR 2022 setelah keputusan pengundian di lapan negeri dikeluarkan setakat 8 malam ini.

Keputusan tidak rasmi yang dikemas kini melalui laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022 itu menyaksikan Rafizi yang sebelum ini merupakan Naib Presiden yang dilantik memperoleh sebanyak 55,424 undi berbanding Saifuddin dengan 40,311 undi.

Negeri-negeri terlibat ialah Selangor, Sabah, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan dan Pahang.

Sebelum ini pada pemilihan pada 2018, Rafizi tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga bagi  jawatan Timbalan Presiden.

Rafizi selepas itu ‘berehat’ dari dunia politik sebelum mengumumkan untuk kembali aktif baru-baru ini dan mengambil keputusan untuk sekali lagi mencuba nasib bertanding jawatan tersebut.

Bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan yang direbut oleh dua aktivis menyaksikan  Adam Adli mendahului dengan meraih 11,053 undi berbanding Fahmi Zainol dengan 9,745 undi.

Sementara itu bagi jawatan Ketua Wanita pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga Rodziah Ismail mendahului dengan meraih 18,056 undi, manakala pencabarnya Senator Fadhlina Sidek mengekori rapat dengan 17,844 undi.

Pemilihan PKR 2022 berakhir semalam setelah menyaksikan pengundian semula di 12 cabang melibatkan beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Sabah.

Pengumuman keputusan rasmi akan dibuat di Kongres Parti Keadilan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Previous articleProtune 2022 meriahkan Pulau Indah
Next articlePerdana Menteri hadir Rumah Terbuka ADUN Tanjung Bidara malam ini
Sistem Automasi Berita