Pemuliharaan Biodiversiti Negara Di Landasan Tepat Namun Kesedaran Masih Rendah

Artikel ini bersempena 2022 CBD COP15 Fellowship anjuran Internews’ Earth Journalism Network.

MONTREAL (Kanada) (Bernama) — “Tindakan manusia menyebabkan lebih banyak spesies diancam kepupusan global, terutamanya sekarang,” rumus Platform Dasar Sains Antara Kerajaan mengenai  Perkhidmatan Biodiversiti dan Ekosistem (IPBES) berhubung kehilangan biodiversiti pada 2019.

Menurut laporan itu, kira-kira 25 peratus atau sejuta spesies berisiko mengalami kepupusan tatkala populasi manusia meningkat ke lapan bilion orang.

Keadaan ini juga menyumbang kepada perubahan iklim, penggunaan berlebihan daratan dan laut, eksploitasi melampau sumber asli dan pencemaran yang menjejaskan dua pertiga daripada keluasan lautan serta kehilangan 85 peratus kawasan tanah bencah.

Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) kini mengandungi 150,388 spesies yang mana 42,108 diancam kepupusan.

Lebih 1,550 daripada 17,903 haiwan marin dan tumbuhan dinilai berisiko mengalami kepupusan dengan perubahan iklim menjejaskan sekurang-kurangnya 41 peratus spesies marin terancam.

Menurut Living Planet Report 2022 yang dikeluarkan oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), hidupan mamalia, unggas, amfibia, reptilia dan ikan menyaksikan kemerosotan 69 peratus secara purata sejak 1970.

Ini antara kebimbangan utama yang dibangkitkan oleh pemimpin dunia di Mesyuarat ke-15 Persidangan Pihak-pihak (COP15) Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu sidang kemuncak biodiversiti terbesar yang berlangsung selama dua minggu di sini sejak 7 Dis, dan menghimpunkan kira-kira 17,000 perwakilan daripada 196 negara.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa kerajaan menghentikan “perang ke atas alam semula jadi’, sementara Setiausaha Eksekutif CBD Elizabeth Maruma Mrema mahu masyarakat memberikan perhatian terhadap kehilangan biodiversiti memandangkan kepelbagaian biologi adalah tunjang kewujudan manusia di dunia ini.

MATLAMAT 30×30

Sasaran  CBD COP15 ialah untuk mencapai konsensus ala Perjanjian Perancis bagi alam sekitar yang akan menamatkan kemerosotan biodiversiti serta mempercepat dan mengarusperdanakan usaha mengembalikan ekosistem dan habitat.

Antara langkah utama yang akan dibincangkan pada COP15  ialah mencegah kehilangan biodiversiti dengan melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus daratan dan laut untuk tujuan pemuliharaan menjelang 2030, dikenali Matlamat 30×30.

Sasaran ini adalah yang ketiga daripada 22 matlamat yang digariskan dalam Rangka Kerja Biodiversiti Global (GBF) Pasca-2020.

Berucap di perasmian COP15 pada Rabu lepas,  Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkata 120 negara sudah bersedia untuk memeterai usul itu.

Bagi Malaysia, Bernama difahamkan kerajaan masih belum menyatakan komitmen untuk menyokong 30×30.

Menerusi Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025,  Malaysia memperuntukkan 20 peratus kawasan daratan dan perairan pedalaman serta 10 peratus kawasan pantai dan laut untuk tujuan pemuliharaan menjelang 2025.

Bernama difahamkan delegasi Malaysia yang diketuai oleh Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dr Khairul Naim Adham ke COP15 masih berunding mengenai Matlamat 30×30.

Sementara itu, Duta Kempen Alam Semula Jadi National Geographic  Prof Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid menggesa Malaysia serta kerajaan lain dalam ASEAN agar menyokong matlamat tersebut dan berusaha memastikan ia diterima di COP15.

Menurut bekas Penasihat Sains kepada Perdana Menteri itu, setakat ini Matlamat 30×30 disokong oleh beberapa negara ASEAN, antaranya Filipina dan Thailand.

“Sains membuktikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keluasan kawasan diperlukan bagi menghentikan kehilangan habitat yang sebahagian besarnya berpunca daripada eksploitasi melampau.

“Kejayaan COP15 bergantung pada persetujuan semua negara terhadap Matlamat 30×30, komited tentang pembiayaan serta menerima pendekatan berasaskan hak bagi memulihara biodiversiti,  mengiktiraf peranan penting Orang Asli dan komuniti setempat sebagai penjaga alam sekitar,” katanya ketika ditemui Bernama di COP15 di sini.

“Saya benar-benar berharap semua negara dengar apa yang kami, komuniti saintifik, katakan selama bertahun-tahun; bertindak sekarang jika kita mahu menterbalikkan kemerosotan alam semula jadi global yang semakin membimbangkan,” tambah beliau.

DASAR BIODIVERSITI KEBANGSAAN

Pusat Pemantauan Konservasi Dunia (WCMC) Program Alam Sekitar PBB mengenal pasti 17 negara dengan biodiversiti mega, iaitu mempunyai sekurang-kurangnya 5,000 spesies endemik dan ekosistem marin dunia di dalam lingkungan sempadan masing-masing.

Kata Zakri, memandangkan Malaysia juga tersenarai sebagai negara yang memiliki biodiversiti mega, kerajaan perlu mengutamakan pemuliharaan dan pengurusan biodiversitinya.

“Kerajaan ada bidang kuasa untuk menggubal dasar dan garis panduan pemuliharaan biodiversiti, menganjurkan penggunaan lestari serta memastikan perkongsian yang adil dan saksama akan manfaat daripada penggunaan sumber biologi.

“Bagaimanapun, soalannya (cabaran) ialah mewujudkan keseimbangan di antara pembangunan dan pemuliharaan,” ujarnya.

Beliau berkata kerajaan perlu menguruskan secara seimbang di antara keperluan pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan pemuliharaan alam sekitar.

“Memang kita perlukan pembangunan dan inilah alasan yang diberikan setiap kali ada aduan tentang eksploitasi habitat hidupan liar. Semua ini adalah perkara yang perlu ditangani oleh kerajaan dan pastikan keseimbangan itu ditetapkan,” tegasnya.

Zakri yang juga Pengerusi Meja Bulat Biodiversiti Kebangsaan Malaysia, berkata walaupun dijangkakan tidak ada perubahan drastik pada dasar biodiversiti kebangsaan yang akan disemak semula selepas 2025,  kerajaan harus pastikan ia mencapai tiga objektif utama CBD menerusi dasar yang digubalnya.

“Tiga objektif itu ialah pemuliharaan biodiversiti, menggalakkan penggunaan lestari, dan memastikan perkongsian adil dan saksama laba yang diraih.

“Saya ingin lihat Malaysia kotakan kata-kata berhubung tiga matlamat CBD yang turut diserap dalam dasar biodiversiti kebangsaan,” ujarnya.

KESEDARAN

Zakri berkata Malaysia merekodkan prestasi memuaskan dalam usaha memelihara, memulihara dan melindungi biodiversiti negara, namun masih ada ruang untuk ditambah baik termasuk dari segi tahap kesedaran rakyat serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan kehilangan biodiversiti.

Sehubungan itu katanya langkah mesti diambil untuk meningkatkan kesedaran melalui pendidikan.

“Kita perlu bermula di peringkat asas iaitu di sekolah atau tempat kerja dengan mendidik masyarakat menghargai alam semula jadi, tentang peranannya dalam kehidupan kita dan pada masa sama, tanggungjawab kita untuk menjaganyai,” kata Zakri.

Beliau berharap kerajaan yang baru ditubuhkan dapat memberikan perhatian sewajarnya terhadap isu itu.

Sementara itu, pensyarah kanan di Jabatan Teknologi dan Sumber Asli Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Dr Aqilah Awg Abdul Rahman berharap kerajaan akan menerbitkan laporan menyeluruh tentang pencapaian dasar biodiversiti kebangsaan apabila ia berakhir kelak.

“Saya percaya kerajaan juga sudah bersedia untuk menggubal dasar seterusnya dengan mengambil kira hasil daripada COP15,” katanya.

Beliau juga berkata sukar untuk mencapai sasaran Dasar Biodiversiti Kebangsaan jika pembuat keputusan dan pihak berkepentingan tidak mengutamakan apa yang terbaik untuk  biodiversiti.

“Bagaimanapun, kementerian yang berkenaan ada kakitangan yang sangat komited dalam memastikan biodiversiti kita dilindungi.

“Saya percaya mereka telah melakukan yang terbaik untuk melindungi negara ini daripada mengalami kehilangan biodiversiti,” katanya.

BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button