info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Penarafan Malaysia Turun Daripada A- Kepada BBB+

76views

KUALA LUMPUR, 4 Dis — Fitch Ratings telah menyemak turun Penarafan Mungkir Penerbit (IDR) Mata Wang Asing Jangka Panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ daripada ‘A-‘ dengan prospek stabil berikutan impak krisis COVID-19 yang tidak hanya menjejaskan kredit metrik utama negara, tetapi juga negara-negara lain.

Pada masa sama, agensi penarafan antarabangsa itu turut mengiktiraf tindakan pantas pihak berkuasa menangani krisis itu dengan langkah-langkah bantuan penting untuk individu dan perniagaan yang terjejas.

“Kerajaan telah mendapatkan laluan perundangan penting bagi melaksanakan langkah-langkah bantuan tersebut termasuk menerusi Belanjawan 2021,” kata Fitch dalam kenyataan hari ini.

Menurut agensi penarafan itu, pelaksanaan langkah-langkah membendung penularan COVID-19 di peringkat domestik berserta penyusutan pelaburan dan pendapatan pelancongan akibat pandemik itu telah menjejaskan aktiviti ekonomi yang turut dialami negara-negara lain di peringkat global.

Fitch juga menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang menguncup sebanyak 6.1 peratus pada 2020 untuk melantun semula kepada 6.7 peratus pada 2021, disokong oleh kesan-kesan asas, usaha menghidupkan semula projek prasarana serta pemulihan eksport komoditi dan barangan perkilangan.

“Unjuran-unjuran ini kekal ditentukan oleh ketidakpastian serta bergantung kepada evolusi pandemik dalam masa terdekat sebagaimana dipaparkan oleh peningkatan kes harian sejak awal Oktober,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga menyasarkan untuk melakukan vaksinasi ke atas 30 peratus penduduk pada tahun depan sebagaimana persetujuan dengan pengeluar vaksin setakat ini.

“Kami menjangkakan pertumbuhan 4.6 peratus pada 2022 dengan unjuran bahawa kepelbagaian ekonomi Malaysia dapat menghasilkan pertumbuhan jangka pertengahan yang kukuh.”

Fitch juga mengunjurkan defisit fiskal kekal tinggi berbanding paras sebelum berlakunya pandemik dan dibantu oleh kelangsungan langkah-langkah sokongan dan tekanan politik bagi meningkatkan perbelanjaan.

Belanjawan 2021 misalnya menyasarkan defisit sebanyak 5.4 peratus daripada KDNK berbanding anggaran 6.0 peratus pada 2020 serta purata defisit 4.5 peratus daripada KDNK bagi 2021 hingga 2023.

Malah, Fitch menyifatkan sasaran berkenaan sebagai mampu dicapai.

“Kami menjangkakan hasil kerajaan kekal rendah pada 19.1 peratus daripada KDNK pada 2020 (‘BBB’ median: 31.4 peratus) dan kebergantungan terhadap pengeluaran minyak yang mana kerajaan mengunjurkan 22 peratus daripada jumlah hasil tahun ini, termasuk dividen khas daripada syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

“Asas hasil yang rendah dan disukarkan lagi dengan tindakan menamatkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2018 — telah menyaksikan kerajaan menggunakan dividen syarikat-syarikat berkaitan kerajaan sejak beberapa tahun ini sementara menunggu pengenalan sumber pendapatan baharu dan lebih mampan yang difahamkan Fitch sedang dipertimbang bagi jangka pertengahan,” katanya.

Fitch menjangka hutang am kerajaan meningkat kepada 76 peratus daripada KDNK pada 2020 daripada 65.2 peratus pada 2019.

“Bagi asas ini, bebanan hutang adalah lebih tinggi berbanding median 59.2 peratus dan 52.7 peratus masing-masing bagi kategori penarafan ‘A’ dan ‘BBB’.  Hutang Malaysia adalah hampir kepada 400 peratus daripada hasil, kira-kira tiga kali daripada median setara.

“Kami menjangka nisbah hutang/KDNK kekal stabil selepas pandemik berakhir memandangkan kemungkinan pengurangan defisit fiskal, dan kos bayaran faedah hutang rendah,” katanya.

Fitch berkata kerajaan baharu terus melaksanakan langkah-langkah meningkatkan ketelusan yang diperkenalkan di bawah kerajaan sebelum ini dan perbicaraan kes rasuah bekas-bekas pegawai tinggi juga masih diteruskan.

Selepas peningkatan ketara pada 2019, skor tadbir urus Bank Dunia bagi Malaysia turun sedikit pada 2020, kepada persentil ke-64, dan hampir kepada median ‘BBB’ persentil ke-58 berbanding median ‘A’ persentil ke-76.

“Penurunan tadbir urus  itu dan ketidaktentuan politik yang berterusan boleh menjejaskan sentimen pelabur, mengekang pertumbuhan ekonomi,” kata Fitch.

Malaysia terus mencatatkan lebihan akaun semasa yang mana Fitch menjangka akan menyusut kepada 3.4 peratus daripada KDNK pada 2021 daripada 4.2 peratus pada 2020.

Agensi penarafan itu berkata bahagian hutang dalam nilai mata wang asing kerajaan juga rendah, hanya pada dua peratus daripada jumlah hutang.

Selain itu, kerajaan masih bergantung kepada pembiayaan asing, apabila pegangan asing hutang domestik adalah sekitar 24 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Ini susut daripada paras tinggi 34 peratus pada 2016, dan mencerminkan pasaran bon domestik yang kukuh,” katanya.

Bagaimanapun, ia berkata ketidakpastian sama ada Malaysia akan terus dikekalkan dalam indeks bon utama masih kekal dan pengguguran pada 2021 boleh membawa kepada aliran keluar modal.

— BERNAMA

Source link