Berita

Pendapatan United Plantations meningkat kepada RM300.1 juta

76views

KUALA LUMPUR, 9 Nov — Keuntungan bersih United Plantations Bhd (United Plantations) meningkat kepada RM300.1 juta untuk sembilan bulan yang berakhir pada 30, September, 2020 daripada RM203.06 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehan dicatatkan lebih tinggi pada RM947.26 juta berbanding RM871.45 juta kebanyakannya disebabkan oleh kenaikan hasil untuk segmen perladangan sebanyak 20.2 peratus, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Untuk tempoh suku ketiga, keuntungan bersih syarikat perladangan tersebut berjumlah RM95.32 juta daripada RM60.19 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu, manakala pendapatan meningkat hingga RM334.03 juta berbanding RM278.66 juta.

“Walaupun United Plantations setakat ini dapat mengatasi kesan daripada penularan COVID-19, syarikat itu harus berhati-hati dan akan terus melaksanakan pelbagai prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Susulan daripada penularan COVID-19 di seluruh dunia dan Malaysia pada bulan September 2020, ia adalah sangat penting untuk mematuhi SOP itu bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 itu memasuki premis kerana ia akan mengakibatkan penutupan sementara kilang dan operasi perladangannya,” kata United Plantations.

Ahli Lembaga berpendapat ia adalah risiko terbesar dalam jangka masa yang akan datang, justeru itu syarikat itu akan melakukan apa jua yang mampu bagi mengurangkan risko tersebut.

Sehubungan itu, Ahli Lembaga menyatakan bahawa mudah tunai dan sumber modal konservatif United Plantations yang berada dalam kedudukan positif, ia yakin syarikat itu berdasarkan asas-asas ketika ini akan dapat menunjukkan prestasi yang memuaskan tanpa keperluan kepada susut nilai aset berikutan pandemik COVID-19.

— BERNAMA

Source link