Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaPenduduk Kampung Tian ketakutan ekoran serangan monyet

Penduduk Kampung Tian ketakutan ekoran serangan monyet

SIBU, 27 Mei (Bernama) — Penduduk Kampung Tian dalam daerah Matu, kira-kira 115 km ke barat dari sini, berada dalam ketakutan sejak dua minggu lepas setelah lapan daripada mereka mendakwa diserang dan digigit sekumpulan monyet ketika sedang tidur di rumah mereka.

Penghulu kampung itu, Saleh Napi berkata maklumat yang diperoleh daripada penduduk yang menjadi mangsa serangan menunjukkan kumpulan primat itu memasuki kediaman penduduk menerusi tingkap rumah yang tidak ditutup rapat.

“Tidak diketahui apa punca monyet-monyet ini bertindak agresif dan menyerang penduduk kampung terlibat yang berusia dalam lingkungan 40-an hingga 80-an. Mereka mengalami luka di beberapa bahagian badan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kesemua mangsa telah mendapat rawatan di klinik kesihatan kampung itu dan setakat ini kecederaan yang dialami mereka dikatakan tidak serius.

Menurutnya, memang terdapat monyet-monyet kelihatan berkeliaran di kawasan kampung itu sebelum kejadian, namun kumpulan haiwan itu melarikan diri dan bersembunyi apabila terserempak dengan penduduk kampung.

Saleh berkata ekoran insiden itu penduduk kampung mengambil langkah berjaga-jaga dengan ada dalam kalangan mereka memasang perangkap di kawasan strategik yang berhasil menangkap seekor monyet.

Katanya, kejadian itu turut dilaporkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) yang telah bertindak menghantar satu pasukan untuk memasang perangkap.

“Kita juga telah melaporkan kejadian itu kepada pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi mendapatkan bantuan,” tambahnya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular