info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Penduduk pedalaman Kuala Krai teruja terima vaksin

70views

KUALA KRAI, 6 Jun  — Teruja dengan kedatangan petugas kesihatan hadir membawa vaksin untuk penduduk kampung,  seorang ibu tunggal , Ani Abdul Rashid dan keluarganya datang seawal 8 pagi tadi di Masjid Kampung Bahagia bagi menerima suntikan vaksin COVID-19.

Warga emas berusia 64 tahun itu berkata usaha kakitangan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Krai yang turun padang untuk memberikan suntikan itu melegakan orang kampung termasuk dirinya kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai kenderaan untuk ke bandar.

“Untuk ke bandar saya terpaksa mengharungi perjalanan menelusuri sungai selama 45 minit menaiki bot, namun setelah dimaklumkan bahawa doktor dan jururawat akan ke kampung kami, saya bersama ahli keluarga amat teruja.

“Sejak awal pagi kami telah bersiap untuk mendapatkan suntikan vaksin dos pertama dalam program yang diadakan di perkarangan masjid ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Ani adalah antara 400 penerima suntikan dos pertama melalui Program Outreach Vaksinasi COVID-19 yang melibatkan penduduk dari 12 perkampungan antaranya Kampung Bahagia dan Kampung Mambong, hari ini.

Bagi warga emas, Abdullah Mamat, 84, komitmen petugas kesihatan yang hadir ke kampung untuk menjalankan Program Outreach Vaksinasi COVID-19 amat dihargai kerana ia memudahkan urusan penduduk kampung dan tidak perlu ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di pusat bandar.

“Saya tidak berasa bimbang untuk mendapatkan vaksin sebagai pelindung diri kerana ramai yang memberitahu golongan warga emas lebih baik ambil suntikan untuk mengelak jangkitan COVID-19. Rasa lega selepas selesai suntikan dos pertama,” katanya.

Siti Fatihah Ibrahim, 38, yang turut menerima suntikan vaksin dos pertama pada program itu pula menasihati orang ramai agar tidak menolak suntikan vaksin COVID-19 kerana ia adalah ikhtiar bagi mengurangkan kadar jangkitan wabak itu.

Terdahulu, sebanyak 39 petugas PKD Kuala Krai menaiki bot menelusuri arus deras Sungai Kelantan selama 45 minit ke Kampung Bahagia bagi melaksanakan Program Outreach Vaksinasi COVID-19.

Program itu dilaksanakan PKD Kuala Krai dengan kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil, Hospital Sultan Ismail Petra, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

— BERNAMA

Source link