info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

Penemuan Vaksin Tidak Akan Tamatkan COVID-19

85views

GENEVA, 5 Dis — Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan bahawa penggunaan vaksin untuk melawan pandemik COVID-19 tidak akan menamatkan virus yang membawa maut itu.

Pertubuhan itu memberi amaran terhadap rasa selesa dan apa yang dikatakannya sebagai kepercayaan yang salah, yang mana disebabkan itu vaksin itu sudah hampir tersedia, krisis sudah pun berakhir.

“Vaksin bukan bersamaan dengan sifar COVID-19,” kata pengarah kecemasan WHO, Michael Ryan pada sidang media secara maya.

Katanya, vaksin itu secara sendirinya tidak akan menghapuskan virus COVID-19 dan ia tidak akan diperoleh semua orang pada awal tahun depan.

Rabu lalu, Britain menjadi negara Barat pertama yang meluluskan sejenis vaksin untuk kegunaan umum, sekali gus memberi tekanan kepada negara lain untuk segera mengambil tindakan sama.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata kemajuan dalam vaksin itu ‘memberi kelegaan dan kini kita boleh mula melihat cahaya di hujung terowong’

“Bagaimanapun, WHO bimbang terdapat persepsi yang semakin bercambah bahawa wabak ini sudah berakhir.

“Kebenarannya adalah ketika ini, banyak tempat menyaksikan jangkitan tinggi virus ini, yang memberi tekanan besar kepada hospital, unit rawatan rapi dan pekerja kesihatan,” katanya.

Berdasarkan sumber rasmi yang dikumpulkan AFP, sehingga semalam, jangkitan COVID-19 di seluruh dunia sudah melebihi 65 juta kes dan ia membunuh sekurang-kurangnya 1.5 juta orang sejak pertama kali muncul di China pada Disember tahun lalu.

“Wabak ini masih panjang dan keputusan yang dibuat pemimpin dan rakyat dalam masa beberapa hari akan datang akan menentukan perjalanan virus ini dalam jangka masa pendek dan bila wabak ini akhirnya akan berakhir,” kata Tedros.

Ketua teknikal COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove, pula berkata keputusan itu ‘boleh memberi makna hidup dan mati kepada kita, hidup dan mati kepada keluarga kita’.

Berdasarkan gambaran keseluruhan oleh WHO terhadap calon vaksin, 51 vaksin sedang diuji ke atas manusia dan 13 daripadanya sudah mencapai ujian secara besar-besaran pada peringkat akhir.

Sebanyak 163 calon vaksin lagi sedang dibangunkan di makmal, yang kemudian akan diuji ke atas manusia. – AFP

Source Link