Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaPenerapan ajaran agama Islam di Johor adalah menyeluruh, meliputi segenap aspek

Penerapan ajaran agama Islam di Johor adalah menyeluruh, meliputi segenap aspek

JOHOR BAHRU, 12 Jun (Bernama) — Penerapan ajaran agama Islam di Johor adalah menyeluruh dan meliputi segenap aspek termasuk dalam pentadbiran serta pendidikan, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata ajaran Islam juga sentiasa dipupuk secara konsisten menerusi pelbagai program berkaitan al-Quran yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor selama ini.

“Johor tidak memandang ke belakang dalam mempertahankan agama Islam, Islam adalah agama negeri dan ia hendaklah berkekalan selama-lamanya.

“Pentadbiran agama Islam di negeri juga sentiasa dipupuk secara konsisten, banyak program Islam khususnya berkaitan al-Quran dilaksanakan malah anak-anak di Johor turut dipastikan menerima pendidikan agama yang turut menyediakan pembelajaran al-Quran dan sistem Sekolah Agama Johor juga telah berusia lebih 100 tahun,” katanya ketika berucap pada perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Onn Hafiz turut menzahirkan penghargaan dan berbesar hati apabila Johor dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran MTHQK kali ini selepas ia tidak dapat diadakan sejak dua tahun lepas apabila negara dilanda pandemik COVID-19.

Kali terakhir Johor menjadi tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran ialah pada 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

MTHQK, yang bermula hari ini, berlangsung selama enam hari di Pusat Islam Iskandar.

Seramai 110 orang mengambil bahagian pada MTHQK kali ini, yang bertema ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ dengan 29 menyertai Majlis Tilawah Al-Quran manakala 81 lagi menyertai Majlis Hafazan Al-Quran.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular