Berita

Pengambilalihan Lapangan Terbang Subang Belum Diputuskan

72views

PUTRAJAYA, 7 Mei — Sebarang cadangan untuk membangunkan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah masih di peringkat awal, menurut Kementerian Pengangkutan.

Ini susulan laporan mengenai entiti swasta mengusulkan kepada kerajaan untuk mengambil alih dan mengoperasikan lapangan terbang itu.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pengangkutan berkata sebarang pertimbangan dan keputusan akhir berhubung cadangan pembangunan semula lapangan terbang yang dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang itu akan diputuskan oleh Kabinet.

Katanya menjadi kebiasaan bagi pasaran untuk mengemukakan kertas cadangan kepada pihak kerajaan melalui kementerian berkaitan bagi mengembangkan aset baharu atau sedia ada.

“Dalam kes Lapangan Terbang Subang, yang telah menjadi kemudahan penting dan pusat bandar utama bagi penduduk Lembah Klang, ia memerlukan perhatian dan pertimbangan yang baik demi masa depan landskap penerbangan Malaysia yang lebih meluas,” menurut Kementerian Pengangkutan.

Menurut laporan sebuah portal berita, syarikat hartanah dan pembinaan WCT Holdings Bhd akan menggunakan anak syarikatnya Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) untuk mengambil alih dan mengendalikan lapangan terbang itu sehingga 2092.

Menurut laporan portal tersebut, cadangan itu sudah dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dengan anggaran pelaburan awal RM3.7 bilion, iaitu RM1.7 bilion akan digunakan untuk terminal penumpang dan jet eksklusif yang dijangka dibuka pada 2027 manakala RM2 bilion lagi untuk membangunkan bandar lapangan terbang bagi tempoh 10 tahun akan datang.

— BERNAMA

Source link