info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Pengecualian Dasar Kabotaj Buka Peluang Pekerjaan Kemahiran Tinggi Tempatan

47views

SHAH ALAM, 4 Dis — Keputusan kerajaan menarik balik pengecualian dasar kabotaj memberi peluang kepada industri pemasangan dan penyenggaraan kabel dasar laut dalam negara untuk memperkasakan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dalam bidang tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Optic Marine Services (OMS) Sdn Bhd, Ronnie Lim Hai Liang berkata melalui pengecualian itu, syarikat tempatan mampu untuk mencari tenaga mahir yang baharu di samping mempercepatkan pertukaran teknologi kerana wujudnya peningkatan permintaan.

Lim berkata dasar kabotaj ini akan menyokong pemain dan penggiat industri tempatan serta mampu menjadikan Malaysia sebagai negara hab pemasangan dan penyenggaraan kabel dasar laut di rantau ini.

“Dengan kepakaran yang sedia ada dalam syarikat ini, kami akan melatih jurutera tempatan dan anak kapal untuk merealisasikan impian menjadikan Malaysia sebagai hab industri ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sehingga kini, jelas Lim, syarikatnya sudah memiliki lima kapal kabel dasar laut, namun hanya satu sahaja berada di Malaysia manakala selebihnya beroperasi antaranya di Indonesia dan Perancis.

“Kita dalam proses untuk mendapatkan kapal 14,000 ton  yang mampu memasang dan membaiki kabel dasar laut sehingga kedalaman 8,000 meter,” katanya.

“Kapal baharu tersebut juga akan dilengkapi peralatan sesuai bagi melakukan kerja pemasangan kabel baharu di dasar laut dan penyelenggaraan kabel di Malaysia serta di peringkat serantau,” katanya.

Lim berkata, sehingga kini syarikat itu telah melakukan pemasangan dan penyelenggaraan kabel dasar laut di semua negara Asia Tenggara dan jelasnya, pihaknya baru sahaja selesai melakukan pemasangan kabel dasar laut di Argentina.

“Pemasangan paling panjang hampir 6,800 kilometer di dasar laut Papua New Guinea dan ada juga khidmat pemasangan kita di Indonesia,” katanya.

OMS Sdn Bhd telah beroperasi sejak 1983 dan aktif dalam industri pemasangan dan penyelenggaraan kabel dasar laut bermula 2008 di mana sehingga kini, syarikat tersebut memiliki 70 tenaga mahir dalam bidang berkenaan.

Selasa lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong di Dewan Rakyat menjelaskan keputusan menarik balik pengecualian dasar kabotaj yang berkuat kuasa 15 Nov lepas telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri pada 13 Nov.

Malah katanya perbincangan telah diadakan melibatkan pelbagai pihak dan jelasnya, langkah berkenaan diambil antara lain bagi mengurangkan aliran keluar wang asing dalam bentuk bayaran fret atau perjanjian penyewaan kapal serta mengurangkan kebergantungan negara kepada kapal asing dengan meningkatkan penyertaan syarikat perkapalan tempatan dalam perkhidmatan domestik.

— BERNAMA

Source link