Berita

Pengeluar Himaya Premium Hijab Medical Mask lancar kempen antibuli siber

121views

KUALA LUMPUR, 7 Mei — Anggun Kirana Sdn Bhd, syarikat pengeluar pelitup muka bagi wanita bertudung, Himaya Premium Hijab Medical Mask melancarkan Kempen Antibuli Siber bagi mengatasi gejala sosial itu yang semakin berleluasa.

Ketua Pegawai Operasi Anggun Kirana Sdn Bhd Datuk K.K.Chua berkata gangguan yang diterima oleh mangsa buli siber boleh membawa kepada kemurungan, masalah mental sehingga membunuh diri, yang menjadi antara penyumbang terhadap peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan remaja.

“Kes buli siber di Malaysia berlaku setiap hari tetapi banyak tidak dilaporkan kerana proses birokrasi dan undang-undang yang panjang.

“Mungkin juga ramai pembuli tidak tahu bahawa sebarang kandungan berniat jahat di Internet dengan tujuan mengganggu, memprovokasi mengancam atau menyalahguna adalah kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chua berkata mangsa buli siber tidak boleh berdiam diri kerana ia akan mendatangkan kemudaratan dan gangguan mental.

“Buli siber tidak mengenal mangsa, langkah paling penting adalah untuk memberitahu keluarga atau individu yang dipercayai mengenai hal ini, masyarakat juga berperanan mendengar masalah mereka dan melaporkan perkara berkenaan sekiranya mangsa malu,” katanya.

Chua berkata artis tempatan juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa buli siber antaranya Wany Hasrita, Amira Othman, Elfira Loy dan Erra Fazira.

“Ada artis yang menjadi mangsa buli siber ini terpaksa mendiamkan diri dan tidak aktif di laman sosial, ada yang takut keluar rumah,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta artis dan masyarakat berganding bahu dan tampil bertindak mengatasi buli siber selain tidak takut untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Sementara itu bagi Wany Hasrita, beliau bertindak menyahaktif sementara laman sosialnya berikutan sikap warganet yang berselindung di sebalik nama dan akaun palsu untuk membuli di laman sosial atas nama kebebasan.

Berlainan pula dengan Elfira Loy dan Erra Fazira, yang mengambil sikap tidak mempedulikan kritikan dan kecaman yang dilempar.

— BERNAMA

Source link