Sabtu, Jun 25, 2022
HomeArtikelPengeluaran Gandum - Kesan Pada Malaysia

Pengeluaran Gandum – Kesan Pada Malaysia

Tidak ramai yang menjangkakan krisis Russia-Ukraine yang bermula sejak April 2022 telah menempiaskan juraian bahana yang mengelincirkan ekonomi sedikit demi sedikit ke dasar kemelesetan. Belum reda lelah bertarung dengan COVID19, ekonomi kini berentap pula dengan krisis bekalan makanan bahana peperangan 2 pengeluar utama gandum dunia iaitu Russia dan Ukraine yang membekalkan 30% bekalan gandum dunia.

Sementelah India mengumumkan penghentian eksport gandum yang bertujuan untuk memastikan bekalan dalam negara mereka mencukupi – tetapi yang pastinya tindakan India ini juga akan menojah harga gandum dalam pasaran komoditi sehingga merodok kantungan pengguna seluruh dunia. Tindakan India ini juga bertujuan mengawal harga dalam negara mereka sendiri yang pastinya akan membebankan pengguna tempatan sekiranya harga komoditi terutamanya gandum terus melonjak tidak terkawal.

Sejurus selepas pengumuman India ini, sudah ramai yang mula bersilat tari melela kononnya akan berlaku kenaikan harga barangan sehingga 50-60% tidak lama lagi. Tidak ramai yang ambil maklum bahawa tepung gandum adalah barang kawalan mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dinyatakan dalam Jadual 1 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 – Hanya kerajaan sahaja boleh menaikkan harga barang-barang kawalan bagi memastikan kepentingan semua pihak dalam negara terjamin.

Merujuk kepada desas-desus kononnya bekalan tepung gandum di Malaysia cuma mampu bertahan sehingga bulan Julai. Benarkah ianya akan berlaku seperti dakwaan sebegitu? Jika benar, apakah tindakan yang terbaik boleh dilakukan oleh kerajaan terhadap permintaan tepung gandum di Malaysia? Apakah ia mampu menjadikan rakyat panik?

Agak sukar untuk Malaysia ketandusan bekalan tepung gandum kerana kita bukanlah import gandum dari Ukraine semata-mata. Mengikut sumber laporan The Observatory of Economic Complexity, Malaysia telah mengimport gandum bernilai USD333 juta pada tahun 2020 dimana Malaysia merupakan negara ke-38 yang terbesar dalam urusan import gandum daripada negara-negara pengeluar seperti Australia (USD118 juta), Amerika Syarikat (USD74.3 juta), Ukraine (USD72.3 juta), Kanada (USD38.4 juta) dan Argentina (USD14 juta). Dalam laporan juga mengatakan bahawa kadar pertumbuhan nilai import tepung gandum antara 2019-2020 kita telah meningkat dengan rancak antara negara Ukraine (USD29 juta), Argentine (USD3.94 juta) dan India (USD1.34 juta)

Pada tahun 2020 juga Malaysia telah mengeksport produk gandum bernilai USD2.15 juta dan meletakkan negara kita di tangga ke-56 dunia. Negara-negara yang membeli produk-produk gandum kita, Sri Lanka (USD1.04 juta), Singapura (USD966 ribu), Filipina (USD94.1 ribu), Thailand (USD40.8 ribu) dan Brunei (USD15.9 ribu).

Daripada laporan Jabatan Agrikultur Amerika Syarikat, anggaran jumlah Malaysia mengimport gandum mengikut jumlah berat pada tahun 2022 sebanyak 175 ribu ton metrik.

Daripada maklumat yang didapati, jelas Malaysia tidak mempunyai kesan yang teruk sehingga berlakunya krisis makanan apabila Ukraine dan India tidak mampu mengeluarkan gandum kepada pasaran dunia. Namun begitu, terdapat pihak telah menggembar-gemburkan kononnya bekalan tepung gandum Malaysia bakal habis licin pada bulan Julai nanti.

Daripada laporan-laporan berkenaan, sukar untuk Malaysia mengalami kekurangan simpanan tepung gandum. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pihak yang cuba untuk menaikkan harga tepung gandum di pasaran dengan meletakkan segala masalah ini kepada pihak kerajaan.

Rakyat harus faham seperkara bahawa tugas utama kerajaan ialah bagi memastikan bahawa stok bekalan tepung gandum sentiasa mencukupi kepada semua dan memastikan harganya dikawal. Ianya juga merupakan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan harga tepung gandum distabilkan dengan subsidi bagi membantu golongan B40 mampu untuk membeli tepung gandum. Disebabkan subsidi kerajaan, harga tepung gandum mampu dikawal dan disebabkan itu pasaran hadapan komoditi harganya mampu menjadi stabil.

Iskandar Mohamad Ali

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular