info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Pengguna Boleh Fail Tuntutan Di Tribunal Pengguna Sekiranya Barang Rosak/Hilang

91views

KUALA BERANG: Pelanggan yang berdepan masalah kerosakan barang kiriman boleh memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) jika aduan dan tuntutan kepada peniaga serta syarikat penghantaran barang gagal menemui penyelesaian.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, berkata tuntutan ke TTPM adalah langkah terakhir sekiranya gagal mendapat penyelesaian antara pengguna dan pihak berkaitan.

Pengguna juga, katanya, perlu melaporkan kerosakan itu kepada penjual dan syarikat penghantaran barang terlebih dulu jika barangan yang diterima atau dihantar rosak.

“Mereka (pengguna) perlu membuat laporan kepada syarikat penghantaran barang terlebih dulu atau merujuk kepada peniaga yang kemudiannya akan memeriksa dengan syarikat penghantaran barang.

“Namun, jika ia tidak dapat diselesaikan pengguna yang teraniaya boleh memfailkan tuntutan ke TTPM bersama bukti dan dokumen lengkap.

“TTPM akan meneliti tuntutan dibuat sebelum mengarahkan pihak berkaitan sama ada penjual atau syarikat penghantaran barang untuk ganti rugi jika terbukti kesilapan dan kelalaian berpunca daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rakaman video yang tular di media sosial membabitkan pekerja syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan selepas dipercayai mogok susulan majikan mengurangkan komisen kerja.

Terdahulu, Rosol melawat jualan Kedai Runcit Bergerak Prihatin Mart di Dataran Kampung Pela, Ajil, di sini, hari ini.

Rosol berkata, tidak semua barang dapat dituntut daripada syarikat penghantar barang dan TTPM seperti barangan kemas dan cecair berbahaya.

“Jika barang yang dipos itu tersenarai antara barangan terlarang, pengguna perlu menanggung risiko sendiri jika berlaku kerosakan.

“Sekiranya berlaku kehilangan seperti barangan kemas, mereka boleh merujuk kes kepada pihak polis,” katanya.

BH semalam melaporkan, syarikat kurier, J&T Express (J&T) memohon maaf kepada pelanggannya di seluruh negara berhubung kejadian pekerja mogok dan membaling barang yang tular di media sosial.

J&T dalam satu kenyataan menjelaskan, insiden berlaku disebabkan kakitangan kurang jelas mengenai sistem pengagihan bonus sehingga menjadi punca kejadian mogok serta tindakan membaling barangan milik pelanggan oleh kakitangan syarikat itu.

Tujuh pekerja syarikat berkenaan di Perak turut membuat permohonan maaf berhubung insiden terbabit.

Source Link