Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaPengorbanan Sharmendran berbaloi, raih emas hatrik

Pengorbanan Sharmendran berbaloi, raih emas hatrik

HANOI, 19 Mei (Bernama) — Pengorbanan yang dilakukan jaguh karate negara R. Sharmendran berbaloi apabila berjaya mencipta hatrik meraih pingat emas acara kumite lelaki bawah 75 kilogram (kg) pada Sukan SEA ke-31 hari ini.

Ketika ramai atlet mungkin bersara selepas mengalami kecederaan serius, semangat yang ditampilkan atlet berusia 30 tahun itu untuk beraksi di kejohanan kompetitif, harus dipuji kerana menyumbangkan pingat emas ketiga buat skuad karate negara selepas meraih dua emas semalam.

Pengalaman dimiliki Sharmendran jelas membantunya menumpaskan lawan dari Indonesia Ignatius Joshua Kandou 3-1 dalam pertarungan akhir yang berlangsung di Gimnasium Sukan Wilayah Ninh Binh, kira-kira 100 kilometer dari sini.

Peserta tuan rumah Duc Thinh Chu terpaksa berpuas hati meraih gangsa selepas menewaskan atlet Filipina Prince Izmen Louis Alejo Escover  9-1.

Terdahulu, Sharmendran cemerlang menumpaskan peserta Vietnam Chu Duc Thinh 3-1 dan mengetepikan cabaran Alejo Prince Izmen Louis Escover dari Filipina 10-3 untuk mara ke saingan akhir.

Semalam, dua emas Malaysia dalam acara karate disumbangkan pendatang baharu H. Sureeya Sankar dan C. Shahmalarani, masing-masing dalam acara kumite 67kg lelaki dan kumite 50kg wanita.

Kali terakhir atlet karate negara meraih emas hatrik pada temasya Sukan SEA ialah R. Puvaneswaran, yang memenanginya pada edisi 2005, 2007 dan 2009.

Kejayaan Sharmendran sekali gus menyaksikan pasukan karate Malaysia mencapai sasaran di Hanoi dengan tiga emas, dengan berbaki satu hari lagi pertandingan.

Sharmendran berkata Sukan SEA kali ini adalah pertandingan pertamanya selepas menjalani pembedahan pada lutut kanan dan terpaksa berehat kira-kira lapan bulan.

“Saya hanya mempunyai tempoh enam minggu sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA bagi mempertahan pingat emas.

“Keyakinan saya semakin tinggi untuk meraih emas selepas menewaskan peserta tuan rumah pada pertarungan pembukaan,” katanya yang menjalani pembedahan pada pertengahan 2021 selepas kembali menyertai aksi kelayakan Sukan Olimpik di Paris.

Sementara itu, pada saingan hari ini, dua pingat gangsa disumbangkan Amirah Syahirah Azlan dalam acara kumite bawah 68kg wanita dan pasukan kata wanita menerusi Lim Hui Ling, Chang Sin Yi dan Khaw Yee Voon.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular